KANGAR 30 April - Raja
Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengucapkan tahniah kepada
kerajaan Perlis di atas kejayaan menganjurkan Perlis Marathon 2017 sehingga
jumlah penyertaannya melebihi daripada sasarannya.
Baginda bertitah, semoga
semua pihak berpuas hati dengan penganjuran Perlis Marathon bagi kali ketiga
ini.
“Gunakan kesempatan ini
untuk melawat tempat-tempat menarik di negeri Perlis dan saya doakan semuanya
selamat dalam perjalanan pulang ke destinasi masing-masing,” titah baginda
ketika merasmikan majlis penutup Perlis Marathon 2017 di Kompleks Sukan Tuanku
Syed Putra, di sini hari ini.
Berkenan hadir, Raja Muda
Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullal dan Raja Perempuan Muda Perlis,
Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir Menteri
Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan
Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq.
Penganjuran Perlis
Marathon oleh kerajaan negeri dengan kerjasama NCIA kali ini telah melibatkan
12,500 peserta tempatan, dalam dan luar negara termasuk Kenya, India,
Singapura, Thailand, Perancis, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Pertandingan ini
melibatkan empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km dan lima km (fun
run) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM250,000.
Acara 42km yang paling
mencuri tumpuan ini apabila hampir 1,000 peserta yang mengambil bahagian
meningkat tiga kali ganda berbanding sebelum ini.
Bagi acara 42km lelaki,
tempat pertama disandang oleh Muhaizar Mohamad yang menerima hadiah wang tunai
RM7,000 dengan catatan masa dua jam 50 minit dan 48 saat, kedua Mohd. Athir
Ismail yang menerima RM4,000 dan ketiga pula Mohd. Nazri Ahmad yang mendapat
RM2,500.
Acara 42km wanita, tempat
pertama dimenangi oleh Tahira Najmunisa Muhammad Zaid yang menerima hadiah
RM7,000 dengan catatan masa tiga jam tiga puluh lima minit dan empat puluh
enam saat, kedua Melissa Lim Yi Xin (RM4,000) dan ketiga oleh Mei See (RM2,500).
Juga disediakan hadiah
cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Peugeot 408 (2.0) tajaan Naza Group of
Companies bernilai RM120,000 selain tiga motosikal iaitu tajaan Modenas
bernilai RM10,000, tajaan CIMA motosikal Yamaha bernilai RM10,000 dan tajaan
Kilang Gula Perlis motosikal Honda bernilai RM5,000.
Sementara itu, Mohd.
Farhan Hakimi Mohd. Noor, pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung
Serdang, Perlis diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah apabila
berjaya membawa pulang sebuah kereta Peugeot.
Mohd. Farhan Hakimi yang
memasuki kategori lima kilometer ini tidak menjangka akan berjaya membawa
hadiah tersebut.
Anak tukang jahit ini pula
satu-satunya pelajar dari sekolahnya yang menyertai Perlis Marathon setelah
guru melihat dia berpotensi di dalam sukan lumba lari.
“Saya akan meminta abang
yang sulung untuk membawa saya, emak dan kakak untuk makan angin ke Kuala
Lumpur,” kata Mohd. Farhan Hakimi yang datang bersama kakaknya.
Sementara itu, Redza Rafiq
berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan
negeri bagi menganjurkan Perlis Marathon.
Beliau berkata,
peningkatan luar biasa penyertaan menunjukkan Perlis semakin dikenali dalam
sukan ini sekaligus dapat menonjolkan pelbagai projek NCIA untuk tatapan pihak
luar yang akan mengundang lebih ramai pelabur untuk sama-sama memacu ekonomi
negeri ini bagi meningkatkan taraf hidup
rakyatnya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.