KUALA LUMPUR 18 Mei -
Seramai 20 pengamal media cetak, elektronik dan media dalam talian dari
pelbagai agensi di Malaysia terlibat dalam program "Cabaran Media Tourism
Malaysia: Jelajah Muzium Kuala Lumpur, Melawat Semula" sempena
memperingati Hari Muzium Sedunia yang disambut pada hari ini.
Mereka dibawa meneroka
empat muzium penting di ibu kota iaitu Muzium Diraja, Muzium Negara, Muzium
Etnologi Dunia Melayu dan Muzium Seni Kraf Orang Asli.
Editor Kanan Komunikasi
Korporat Tourism Malaysia, Anis Rozalina Ramli berkata, program yang berbentuk
pencarian harta karun itu dianjurkan buat pertama kali bertujuan untuk
merapatkan hubungan antara lembaga penggalakan pelancongan dengan media melalui
cara yang lebih menyeronokkan.
“Melalui kerjasama dengan
media, pengalaman yang diperoleh tentang produk pelancongan kita mungkin dapat
ditonjolkan kepada orang ramai dengan perspektif yang berbeza.
“Sekali gus, ini menjadi
satu platform untuk menghidupkan kembali minat terhadap muzium, terutamanya
dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada program tersebut
di sini hari ini.
Pada program tersebut,
penerokaan di keempat-empat muzium itu berpandukan kepada teka-teki dan
petunjuk yang telah disediakan oleh kurator-kurator di Jabatan Muzium Malaysia.
Para pengamal media juga
berpeluang melawat pelbagai galeri di keempat-empat muzium tersebut dan
diperlihatkan dengan beberapa barangan dan artifak yang unik serta bernilai
tinggi di setiap muzium.
Antara aktiviti menarik
adalah para media perlu menyumpit ke arah papan dart dan menghias seorang ahli
kumpulan mereka dengan pakaian tradisional berdasarkan panduan yang diberi
untuk memperoleh markah lebih bagi memenangi cabaran tersebut.
Antara pengamal media yang
terlibat adalah Malaysia Kini, Harian Metro, Kosmo!, Regent Media, dan 1News.
Mengulas lanjut, Anis
Rozalina berkata, dengan kejayaan penganjuran program tersebut diharap dapat
diteruskan pada masa akan datang.
“Pada masa akan datang,
program ini diharap dapat menerima kerjasama daripada pelbagai pihak seperti
sektor kerajaan dan swasta yang lain.
“Oleh itu, ia mampu
membuka lebih peluang untuk pihak lain menonjolkan lagi produk-produk
pelancongan yang terdapat di Malaysia,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.