Thursday, 4 May 2017

Pulau Duyong dihidupkan dengan kegiatan kesenian

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancong dan Kebudayaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (depan, lima dari kiri) bergambar bersama para peserta Seminar dan Sesi Dialog Bersama Barisan Hadapan VBT 2017 di Kuala Terengganu hari ini.
UTUSAN/TENGKU FAUZIAH NGAH 


KUALA TERENGGANU 3 Mei– Kerajaan negeri akan menghi­dupkan Pulau Duyong dengan pelbagai kegiatan kese­nian secara berterusan agar menjadi salah satu destinasi tumpuan pelancong semasa berada di bandar raya ini.

Pengarah Jabatan Pelanco­ngan­ negeri, Tun Ah­mad Faisal Tun Abdul Razak ber­kata, kawasan penempatan ma­syarakat nelayan itu yang terkenal dengan pembuatan bot tradisional mempunyai potensi, namun belum dieksploitasikan.

“Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mahu pu­lau ini diberi perhatian, susulan daripada sambutan begitu mem­be­rangsangkan terhadap Fes­­tival Kesenian Duyong (DAF) yang menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung pada minggu lalu.

“Selain pelbagai aktiviti ke­bu­­dayaan dan kesenian yang diada­kan, sepanjang jeti Pulau Du­yo­ng­ turut dijadikan tapak jualan pelbagai produk tempatan. Ini me­rupakan satu kelainan dan aktiviti yang cukup unik,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutupan Seminar dan Sesi Dialog Bersama Barisan Hadapan Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017 di sini semalam.

DAF dirintis oleh sekumpulan anak muda mewakili beberapa pertubuhan pada tahun 2015 dan festival yang ingin dijadikan tradisi tahunan itu pada tahun ini dinaik taraf dengan penglibatan kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

Beliau berkata, pihaknya te­lah merangka program untuk diadakan setiap bulan di lokasi terbabit supaya kemeriahan berterusan dan dapat menarik lebih ramai pelancong sepanjang tahun ini, sekali gus memberi peluang kepada penduduk setempat untuk turut menjana ekonomi.

Menurutnya, sebagai permulaan, kerajaan negeri akan mengadakan aktiviti berbentuk kebudayaan dan sukan rakyat seperti ‘santai kolek’ (perahu) sebelum Ramadan dan disambung selepas Aidilfitri.

“Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga akan membuat program seperti DAF dengan membuka gerai jualan dan produk kesenian negeri ini di sekitar Pulau Duyong,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Wan Sufian Datuk Wan Ishak berkata, program Seminar dan Sesi Barisan Hadapan VBT 2017 itu diadakan di setiap daerah untuk memboleh­kan pemain industri pelancongan mendapat maklumat lengkap serta terkini.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk mengadakan kursus Bahasa Inggeris kepada yang terlibat di barisan hadapan kerana mereka adalah orang yang pertama akan ditemui pelancong,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.