Saturday, 13 May 2017

KKLW himpun pakej pelancongan dalam aplikasi mobil



KUALA LUMPUR 11 Mei – Aplikasi mobil RuralTourism yang kini boleh dimuat turun dari Play Store menghimpunkan pakej pelancongan milik anak-anak syarikat KKLW di seluruh negara di atas satu platform yang lebih interaktif dan berinformasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Nikaniaga Travel & Tour Sdn Bhd, Jamalluddin Haidzir berkata, aplikasi yang disediakan secara percuma itu menghimpunkan pelbagai maklumat pelanco­ngan yang ditawarkan oleh ena­m anak syarikat milik agensi KKLW.

Syarikat berkenaan adalah Glocal Link Travel & Tours Sdn. Bhd; Nikaniaga Travel and Tours Sdn Bhd; KESEDAR Inn Sdn. Bhd; KEJORA hospitality and Services Sdn Bhd; KEDA Resort & Holidays Sdn Bhd dan Espek Sdn Bhd.

Jamalluddin berkata, penggunaan aplikasi itu bertujuan memperkasakan produk pelanco­ngan dengan menyediakan akses yang lebih mudah dan cepat kepada pengguna mengenai setiap produk pelancongan.

“Aplikasi mobil ini berfungsi seperti peta pelancongan KKLW yang menyenaraikan maklumat seperti tempat, aktiviti, lokasi, penginapan dan tarikan berhampiran.

“Setiap anak syarikat mempunyai keunikan pakej yang tersendiri. Kini kita anggarkan ada lebih daripada 30 pakej yang digabungkan di dalam aplikasi ini.

“Aplikasi yang menggunakan nama Rural Tourism itu ki­ni tersedia untuk pengguna Android manakala versi untuk iOS boleh dimuat turun minggu depan,’’ katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jamalluddin berkata, aplikasi yang dibangunkan secara perkongsian bersama enam anak syarikat kementerian itu akan dikemaskini dan diper­tingkatkan dari semasa ke semasa.

“Pengguna kini bo­leh mendapatkan maklumat seperti har­ga dan keterangan pakej. Maklumat lebih terperinci turut tersedia melalui pautan seperti laman web, blog dan juga google map.

“Tidak lama lagi, kita akan mengintegrasikan aplikasi mobil ini dengan sistem pembayaran secara online untuk lebih memudahkan pengguna,’’ ujar beliau.
Katanya, aplikasi yang membantu merancang percutian de­ngan lebih baik itu juga meng­hubungkan pengguna dengan tempat-tempat tarikan popular seperti tempat makan dan kedai cenderahati yang pada masa sama membantu usahawan tempatan.

Tambah Jamalluddin, pihak­nya akan membawa aplikasi itu ke kementerian pelancongan untuk mempromosikannya.

“Kita juga dalam proses me­ngintegrasikan aplikasi ini de­ngan sosial media yang lain seperti Facebook untuk menjadikannya lebih interaktif,’’ katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.