image: www.mapsperak.com |
IPOH 28 Feb. – Taman tema animasi pertama Asia, Movie Animation Theme Park (MAPS) yang kini telah 80 peratus siap didirikan di Bandar Meru Raya di sini, bakal dibuka kepada orang ramai bermula Julai ini.
Ikon pelancongan baharu yang menawarkan lebih 40 tarikan utama itu dijangka terus menjadi pemangkin utama kepada perkembangan sektor pelancongan negeri ini selepas Perak berjaya mencatatkan kunjungan pelancong domestik tertinggi untuk tiga tahun berturut-turut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, MAPS turut disasarkan untuk meningkatkan bilangan kunjungan pelawat antarabangsa ke negeri ini sekali gus merealisasi sasaran kunjungan 5.5 juta pelancong pada tahun ini.
“Dengan pembukaan MAPS ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkembang industri seni kreatif serta pembangunan sumber manusia kerana sebanyak 23 rakyat kita sendiri terlibat dalam pengendalian aksi lagak negeri di sini.
“MAPS juga dijangka membawa kepada kesan kunjungan sebanyak 1.5 juta orang termasuk limpahan ekonomi di kawasan sekitar, justeru menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor pelancongan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program My Dream Carnival selain pelancaran promosi tiket MAPS merangkumi Perak Pass di pekarangan taman tema berkenaan di sini hari ini.
Perak Pass ialah tawaran harga tiket istimewa bagi kemasukan ke MAPS untuk tempoh setahun dengan harga RM180, khusus kepada anak kelahiran negeri ini melalui pembelian dengan pembuktian menggunakan kad pengenalan.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Darren McLean dan Pengasasnya, Ramelle Ramli serta Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Aminuddin Md. Desa merangkap Pengerusi MAPS.
MAPS yang bakal dibangunkan sepenuhnya dengan kos sebanyak RM450 juta berhampiran Plaza Tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Ipoh Utara, menawarkan enam zon tema berbeza.
Zon itu meliputi tarikan animasi Dreamworks Adventure Zone (Mr.Peabody & Sherman, Megamind, The Croods, Casper The Friendly Ghost) serta persembahan animasi The Smurfs secara langsung yang pertama di Asia Tenggara.
http://www.mapsperak.com/
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.