MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ (tiga dari kanan) melancarkan laman web pelancongan Malaysia sambil diperhatikan oleh Mas Ermieyati Samsudin (dua dari kanan) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
KUALA LUMPUR 18 Feb. – Malaysia sedia menerima 36 juta pelancong dengan janaan pendapatan berjumlah RM168 bilion menjelang tahun 2020 walaupun dunia sedang dilanda pelbagai wabak berjangkit.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, persediaan yang dilakukan bukan hanya merangkumi keperluan kemudahan malah turut melibatkan Kementerian Kesihatan dalam usaha mengelak wabak menular di dalam negara.
“Ini bukan kali pertama dunia dilanda pelbagai wabak seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), selesema burung dan terkini virus Zika. Pengalaman lalu menjadikan saya benar-benar yakin bahawa kita sudah bersedia serta terlindung daripada wabak.
“Kementerian Kesihatan juga mengambil bahagian dalam industri pelancongan iaitu pelancongan kesihatan, jadi tidak usah bimbang. Jika kita terlalu risau dan menutup pintu kemasukan pelancong, kita tidak akan berjaya,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Pelancaran Laman Web Pengguna dan Korporat Tourism Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Ong Hong Peng; Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong; Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Zainol Abidin Omar dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammed Taiyab.
Laman web Tourism Malaysia kini dinaik taraf kepada www.malaysia.travel sebagai laman web pengguna yang merupakan salah satu langkah bagi memudahkan proses mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dengan lebih efisien dan efektif.
Tambah Mohamed Nazri, sasaran 36 juta pelancong itu juga mudah tercapai selepas kerajaan mempermudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan e-Visa melibatkan beberapa negara yang telah dikenal pasti termasuk China.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri menyokong dasar kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang tidak diendahkan oleh rakyat sendiri.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.