Perdana Menteri memberitahu, langkah itu merupakan fokus utama kerajaan bagi memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) tahun ini mencapai unjuran empat hingga 4.5 peratus walaupun dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu.

Menurut beliau, jika kerajaan tidak mencari sumber pendapatan lain bagi menampung kekurangan pendapatan daripada hasil minyak, kesannya kepada rakyat adalah amat buruk.

“Dengan penurunan nilai mata wang ringgit, kos percutian di Malaysia menjadi lebih murah untuk pelancong asing. Ini membuka peluang perniagaan yang lebih besar buat kita.

“Apabila warga asing berbelanja di negara ini, ia merupakan satu bentuk pendapatan untuk ekonomi kita,” katanya melalui rakaman audio yang disiarkan dalam laman blog NajibRazak.com hari ini.

Najib menambah, bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan melancarkan promosi pakej percutian ke Malaysia dengan lebih giat di luar negara.

Beliau menjelaskan, antara fakta yang diketengahkan adalah kelebihan sektor ekopelancongan Malaysia yang terkenal di seluruh dunia.

“Kita mempunyai pantai yang terindah di dunia serta hutan hujan tropika yang kaya dengan spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang unik,” katanya.
-utusan online.