KUALA LUMPUR 24 Feb. – Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) sekali lagi menyasarkan peningkatan prestasi pelancongan domestik untuk penganjurannya pada Mac ini. Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng berkata, penganjuran yang melibatkan sebanyak 1,200 gerai itu memfokuskan produk pelancongan domestik yang diyakini mampu menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara.
Katanya, penyertaan pelbagai negeri seperti Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka akan memeriahkan pameran tersebut kerana mereka akan mempamerkan pelbagai tempat menarik dan maklumat kepada peminat aktiviti pelancongan.
“Tourism Malaysia juga tidak melepaskan peluang dengan membuka 70 gerai bagi membolehkan agensi yang beroperasi di bawahnya menjual pelbagai produk pelancongan tempatan.
“Selain itu, 12 negara terlibat bagi mempromosikan destinasi pelancongan mereka seperti Indonesia yang membuka 36 gerai dan ada juga agensi dalam negara yang turut menjual pakej percutian di seluruh negara ASEAN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
MATTA Fair akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari pukul 10 pagi hingga 9 malam selama tiga hari bermula 11 Mac ini.
Penganjuran sepenuhnya oleh MATTA kali ini menyediakan sebanyak empat dewan untuk pengunjung memilih pelbagai pakej pelancongan dan satu setengah daripadanya mempamerkan produk pelancongan domestik.
Pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan kepada pengunjung antaranya penampilan khas artis terkenal Indonesia, Cakra Khan dan persembahan kebudayaan daripada negara-negara yang terlibat.
Tambah Tai Neng, para pengunjung juga boleh menyertai ‘Buyers Contest’ dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan yang disediakan.
“Dengan setiap pembelian minimum RM300, mereka boleh menyertai satu pertandingan dan berpeluang merebut hadiah berupa tiket penerbangan domestik dan antarabangsa termasuklah di Asia Tenggara dan Asia Pasifik.
“Diharapkan jumlah pengunjung sebanyak 96,000 pada tahun lepas akan meningkat kali ini kerana kami sedang merancang pelbagai aktiviti menarik untuk disajikan kepada mereka,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.