Tergolong dalam kategori hotel bajet, Hotel Koperasi yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah bandar raya Alor Setar, Kedah menawarkan perkhidmatan penginapan yang amat memuaskan hati para pelanggan, selain caj yang dikenakan amat berpatutan.
Mereka yang memilih untuk mendapatkan penginapan bajet perlu memasukkan hotel tersebut dalam senarai pilihan mereka kerana premis yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim ini hanya memakan masa lima minit perjalanan dari Masjid Zahir, Balai Besar, Muzium Diraja Kedah, Bali Besar, Galeri Sultan Abdul Halim dan Pekan Rabu.
Sehubungan itu, Pengurus Hotel Koperasi, Ghazali Omar berkata, pengunjung yang datang ke ibu negeri Jelapang Padi ini tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk penginapan kerana hotel yang dimiliki Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad (KGMKB) itu dapat membantu mereka untuk membuat penjimatan dalam perbelanjaan.
Pada masa sama, beliau berkata, hotel tersebut menawarkan diskaun kepada mana-mana ahli KGMKB yang memilih untuk menginap itu sekiranya mereka mempunyai kursus atau latihan di Alor Setar.
“Para pengunjung ini sebenarnya hanya mahu mencari tempat menginap bagi membolehkan mereka tidur dan berehat dalam keadaan yang selesa. Jadi, mereka beranggapan kenapa perlu bayar lebih kerana mereka bukan berada di hotel sepanjang hari.
“Hotel ini merupakan pilihan tepat untuk mereka berbuat demikian kerana kami menyediakan penginapan bajet bagi memenuhi cita rasa mereka,” katanya kepada S2.
Menurutnya, setiap bilik di hotel itu dilengkapi dengan sistem pendingin hawa, pemanas air, gel mandian dan rambut, set minuman, pemanas air, dan sejadah. Selain itu, pihak pengurusan hotel tersebut turut menyediakan sterika di laluan koridor hotel.
Mengulas lanjut, Ghazali berkata, hotel tersebut mempunyai 28 bilik yang terdiri daripada 12 unit bilik standard, tujuh bilik superior, lapan bilik deluxe dan
sebuah bilik suite.
Beliau menambah, hotel bajet tersebut juga menyediakan
sebuah bilik mesyuarat yang
boleh memuatkan 25 orang dalam sesuatu masa dan bilik itu juga sesuai untuk tujuan perbincangan berkumpulan.
“Untuk pengetahuan, hotel ini beroperasi sejak Mac tahun lalu dan ini merupakan hotel kedua milik KGMKB selepas Hotel Darulaman di Jitra. Jadi, pengalaman yang kami miliki akan digunakan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Kami juga mempunyai para pekerja yang bersedia untuk membantu anda pada bila-bila masa sekiranya menjadi pelanggan di hotel ini. Biarpun baru beroperasi, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah,” ujarnya.
Orang ramai yang mahu membuat tempahan dan maklumat lanjut mengenai Hotel Koperasi boleh menghubungi pihak pengurusan di hotelkoperasi@gmail.com atau berkunjung ke laman sosial Facebook hotelkoperasi atau menghubungi talian telefon di 04-7341773 atau faks 04-7341772.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.