Tuesday, 9 July 2013

Malaysia catat 5.2 juta ketibaan pelancong dari Singapura


SINGAPURA 8 Julai - Ketibaan pelancong dari Singapura mencatatkan pertumbuhan yang tekal dari Januari hingga Mei 2013, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas, kata Pengarah Tourism Malaysia bagi Singapura, Noor Aine Ismail.

"Sehingga ini, kita telah menerima sejumlah 5,209,286 ketibaan pelancong dari Singapura, satu kenaikan keseluruhan 11.5 peratus ketibaan pelancong.

"Tahun lepas, kita menyambut kira-kira 13.01 juta pelancong dari Singapura - turun 2.75 peratus berbanding 2011. Penurunan ini sebahagian besarnya berikutan perubahan pengiraan perangkaan, yang berasaskan 'Negara Tempasal' (Certificate of Origin) dan bukan 'Negara Kediaman," katanya pada malam Media Tourism Malaysia di sini, baru-baru ini.

Noor Aine berkata, 2014 diumumkan kempen Tahun Melawat Malaysia, seperti yang diumumkan awal tahun ini. Pada bulan-bulan mendatang dan sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2014, katanya, Tourism Malaysia membariskan beberapa acara untuk menarik rakyat Singapura melawat Malaysia.

"Ia akan menjadi tempoh masa yang sangat menarik bagi pelancong yang merancang perjalanan masing-masing kerana pada tempoh itu, banyak aktiviti akan dilaksanakan dan mendapat pengalaman baharu untuk diterokai.

"Tahun Melawat Malaysia 2014 bermatlamat mempromosikan acara dan aktiviti yang mempamerkan kepelbagaian dan keunikan kebudayaan, tradisi dan warisan serta untuk mempromosikan Malaysia sebagai satu destinasi perdana yang menawarkan lebih banyak tarikan dan destinasi.

Beliau juga mengundang media untuk menyertai Tourism Malaysia dalam lawatan membiasakan diri ke Malaysia dan menjadi duta mempromosikan banyak destinasi pelancongan.
-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.