Sunday, 7 July 2013

Jadikan rumah kosong anda sebagai homestay


IPOH 7 Julai - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggalakkan pemilik rumah kosong dan terbiar di luar bandar agar mengusahakan program inap desa bagi menjana pendapatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, usaha mempromosikan produk pelancongan, tidak seharusnnya melibatkan hanya agensi pelancongan atau pemilik hotel, malah penduduk tempatan juga patut melakukannya menerusi perusahaan inap desa.

"Banyak rumah-rumah di kawasan luar bandar yang lama dan terbiar kerana anak-anak mereka telah keluar duduk di Kuala Lumpur, mengapa tidak rumah itu dijadikan sebagai inap desa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek peningkatan kemudahan Kellie's Castle di sini hari ini. Dengan cara itu, katanya, lebih ramai pelancong akan berkunjung kawasan luar bandar selain dapat mempelajari budaya di sesuatu kawasan.

Malah, katanya, penduduk tempatan juga boleh memperoleh keuntungan hasil daripada pembukaan restoran, serta menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong.

Mengenai usaha menaik taraf kemudahan di Kellie's Castle, beliau berkata projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM5 juta itu bermula pada 28 Sept 2011 dan selesai pada 10 April lepas.

Katanya, komponen projek antaranya menaik taraf gerai, tandas awam, alat permainan kanak-kanak, pintu masuk, pusat latihan, ruang pameran dan pembinaan mini teater.

Mohamed Nazri berharap projek yang dilaksanakan kementeriannya itu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri pelancongan Malaysia khususnya di Perak sekali gus menyediakan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
-bernama/utusan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.