Tuesday, 23 October 2012

Penganjuran Corporate Travel Bazaar 3 / 2012 Dijangka Pikat Komuniti Korporat Tempatan


SHAH ALAM, 23 OKT 2012: Tourism Malaysia akan menganjurkan program Corporate Travel Bazaar (CTB) buat kali ketiga pada 1 November 2012 di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam bagi mempromosikan pakej mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran atau MICE kepada pasaran perniagaan domestik.

Seramai 103 orang pengusaha pelancongan (sellers) dari seluruh negara yang terdiri daripada para pengusaha agensi pelancongan, pengusaha hotel dan resort, konsultan latihan dan pengusaha produk pelancongan akan mengambil bahagian dalam program yang semakin diminati di kalangan penggiat Industri.
Program sehari ini akan melibatkan pertemuan dua hala yang berkonsepkan perniagaan ke perniagaan (B2B) antara para pengusaha pelancongan dan para pembeli (buyers) daripada sektor-sektor awam dan korporat di sekitar Lembah Klang; khususnya di Selangor dan Putrajaya.

Antara pakej-pakej yang ditawarkan kepada para pengunjung termasuklah pakej perjalanan insentif, program hari keluarga korporat, program pembinaan pasukan (team building), pakej pelancongan perniagaan dan sebagainya.

Para peserta CTB 3 juga berpeluang untuk mendengar ceramah bertajuk "How to Manage Corporate Events Successfully" yang akan disampaikan oleh Cik Chum FP, pengasas syarikat Events Mastery pada jam 11.00 pagi, 1 November 2012, di Dewan Rebana, Tingkat 1, Hotel Grand Bluewave di Shah Alam.

Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg Dato' Mirza Mohammad Taiyab, penganjuran program CTB 3 ini adalah sejajar dengan misi Tourism Malaysia untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dan pendedahan kepada pentingnya sektor MICE.

"Kami berharap agar program ini akan dapat meningkatkan minat komuniti perniagaan tempatan untuk menganjurkan acara-acara korporat mereka seperti mesyuarat, seminar, persidangan, program mencari ketenangan (retreat), perjalanan insentif dan sebagainya di dalam negara sendiri," jelas beliau semasa sidang media Pra-Pelancaran Program Corporate Travel Bazaar 3 2012 di Hotel Grand Bluewave di sini, hari ini.

"Saya percaya bahawa pakej-pakej MICE yang dibangunkan oleh para peserta CTB 3 ini menawarkan fasiliti yang lengkap serta canggih, perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti, tempat-tempat yang menarik dan tinggi mutunya," sambung Dato' Mirza lagi.

Program Corporate Travel Bazaar 3 2012 ini merupakan kesinambungan kepada dua program Corporate Travel Bazaar yang pernah diadakan sebelum ini iaitu di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada 2009 dan di Hotel Empire, Subang pada 2011.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.