KUCHING, 27 MEI 2012: Kuching, Sarawak menjadi destinasi kelima selepas Putrajaya, Raub (Pahang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuala Terengganu (Terengganu) bagi siri pelancaran pakej pelancongan berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) anjuran Tourism Malaysia.
Majlis pelancaran pakej pelancongan berbasikal yang dinamakan Pakej Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Kuching Bike Ride ini telah diadakan di Muzium Sarawak pada jam 4.30 petang di sini hari ini bersempena dengan Minggu Belia Peringkat Negeri Sarawak. YAB Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah melepaskan seramai 10 orang penunggang basikal yang membawa replika Pakej Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Kuching Bike Ride sebagai simbolik pelancaran pakej tersebut.
Sebanyak lapan buah pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan hasil kerjasama antara Tourism Malaysia Negeri Sarawak dengan tiga buah agensi pelancongan tempatan. Pakej berbasikal tersebut boleh dibeli dari harga serendah RM140 hingga RM930 seorang mengikut destinasi. Antara lokasi-lokasi berbasikal yang terdapat di dalam pakej ini ialah Bandar raya Kuching Selatan, Santubong, Sematan dan Petra Jaya.
Pakej-pakej menarik yang ditawarkan termasuklah:
• "Kuching's Day City Tour / Kuching's Night Moon Ride" - Pakej sehari ini bermula pada jam 6.00 petang dengan harga RM140.00 seorang. Bermula dari Muzium Kuching hingga ke Waterfront Kuching dan seterusnya menyeberangi sungai ke Perkampungan Melayu dengan menggunakan bot penambang untuk melawat sekitar kampung, Astana Negeri, Taman Orkid, Dewan Undangan Negeri, Gerai Kek Lapis Sarawak serta sekitar Petra Jaya dan berhenti di Kampung Gersik sebelum kembali ke hotel menggunakan bot Penambang.
• "Kuching Malam Mau Cycling" - Pakej sehari bernilai RM165 seorang ini diadakan setiap hari bermula dari jam 8.00 malam hingga 10.30 malam. Pakej tersebut turut menawarkan pengangkutan pergi balik dari tempat penginapan, makan malam di restoran atau salah sebuah rumah Melayu yang disinggahi dan lawatan ke Perkampungan Melayu, sekitar Waterfront Kuching serta tidak ketinggalan bangunan-bangunan bersejarah.
• "Borneo Coastal Cycling 'Against The Wind-Sun-Rain" - Pakej 3 hari 2 malam dengan harga RM930 seorang ini menawarkan tempat penginapan, pengangkutan pergi balik dari hotel ke lapangan terbang, sarapan pagi/makan tengahari dan aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Timur Sematan, dusun buah-buahan, kampung nelayan, hutan paya bakau, sawah padi dan Air Terjuh Pueh.
Acara Kayuhan
Seramai 1,000 orang peserta memulakan kayuhan dari DUN Lama dan berkumpul di Muzium Sarawak. YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud turut menyertai acara kayuhan tersebut bersama-sama para tetamu khas dan para peserta lain bermula dari Muzium Sarawak hingga ke Dewan Suarah yang merupakan lokasi program Minggu Belia Peringkat Negeri Sarawak.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi En. Rizal Mas, Timbalan Pengarah, Pejabat Tourism Malaysia -Sarawak, Tourism Malaysia di talian 082-246575 / 082-240370 atau emel rizal@tourism.gov.my.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.