Thursday, 23 April 2026

Galeri Rumah Lat dapat pengiktirafan MyTQA MOTAC

 

Datuk Mohammad Nor Khalid (Datuk Lat) (dua kiri) menerima sijil daripada Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Perak, Muhammad Aminuddin Abdul Majid (tiga kiri) sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Operasi Tourism Perak, Zuraida Md Taib (dua kanan) dan Ketua Unit Pembangunan Industri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Perak, Haroun Agoes Salim Shafie (kanan) pada majlis penyerahan Sijil dan Plak bagi Penganugerahan Malaysia Tourism Quality Assurance untuk Galeri Rumah Lat di Batu Gajah. - Foto NSTP/L Manimaran

BATU GAJAH: Berdiri sebagai galeri menghimpunkan semua hasil karya serta pencapaian kartunis tersohor tanah air iaitu Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau 'Lat', Galeri Rumah Lat, di sini menerima pengiktirafan Malaysian Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). 

Ia meletakkan Galeri Rumah Lat sebagai satu daripada lima produk pelancongan di Perak setakat ini yang sudah menerima pengiktirafan MyTQA iaitu inisiatif MOTAC untuk meningkatkan perkhidmatan dan kualiti kemudahan bagi produk-produk pelancongan. 

Pengarah MOTAC Perak, Muhammad Aminuddin Abdul Majid, berkata pemilihan galeri itu dibuat berdasarkan penelitian terutamanya daripada sudut peribadi Datuk Lat yang sememangnya menjadi antara ikon bagi negeri Perak, serta memandangkan galeri terbabit adalah suatu produk pelancongan di bawah kategori galeri dan warisan. 

Pengiktirafan MyTQA terhadap galeri terbabit yang berada di bawah pentadbiran dan seliaan Lembaga Muzium Negeri Perak, juga diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung termasuk peminat Datuk Lat yang umum diketahui tidak terhad sekadar di Malaysia.

"Mana-mana yang diiktiraf dalam kategori MyTQA, menjadikannya salah satu daripada jaminan untuk memastikan produk-produk pelancongan itu berkualiti. Seperti Galeri Rumah LAT ini di bawah kategori galeri dan warisan, di mana kita hendak mengangkat salah satu ikon negeri Perak iaitu Datuk Lat sendiri.

"Kalau diikutkan bila sesuatu produk pelancongan itu diiktiraf oleh MOTAC, maka ia akan menarik lebih ramai pengunjung. Seperti galeri ini bukan sekadar pelancong, malah boleh menarik peminat Datuk Lat secara khusus termasuk peminat di luar Malaysia untuk datang ke sini," katanya kepada Media Prima, sewaktu majlis penyampaian pengiktirafan itu di sini, hari ini. 

Hadir sama menerima pengiktirafan itu adalah Datuk Lat serta Penolong Kurator Galeri Rumah Lat, Mohamad Zaki Mohamad Roslan. 

MyTQA adalah satu pengiktirafan kepada produk pelancongan dan memberi pendedahan kepada penggiat-penggiat industri supaya lebih mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan. 

Kata Muhammad Aminuddin, pengiktirafan itu dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam memperkasa sektor pelancongan berasaskan warisan di Perak. 

Pengiktirafan MyTQA membanggakan 

Sementara itu, Lat yang juga Seniman Diraja negeri Perak berkata, pengiktirafan MyTQA itu dianggap suatu tingkatan pencapaian terhadap galeri berkenaan yang dibanggakan dengan ia turut diharap dapat menambah baik input pengisian yang dipamerkan di galeri berkenaan. 

"Semuanya termasuk mengenai latar belakang kartunis Lat (saya) itu ada sini (galeri) serta juga bahan-bahan karya lukisan yang pernah diterbitkan sama ada dalam rumah akhbar, majalah, dalam bentuk buku, ....semuanya boleh didapati di sini. 

"Jadi kalau kita buat penyelidikan mengenai seni lukis kartun Lat itu maka di sinilah tempat yang paling baik dan kita boleh baca semuanya yang ada dipaparkan di sini. 

"(Berbanding) zaman dulu orang kena jumpa Lat lah (untuk penyelidikan) tetapi macam mana saya nak jumpa ramai-ramai termasuk pelajar sekolah, kolej, universiti... Tak terlayanlah saya. 

"Sekarang saya pada usia lanjut. Jadi eloklah datang ke mari... Sekali sekala saya datang juga dan bertemu dengan pengunjung di sini," katanya. 

Lat yang pernah suatu ketika berkhidmat bersama New Straits Times (NST) sebagai wartawan dan pelukis berkata, galerinya itu juga berupaya memberi motivasi kepada pengunjung termasuk pengunjung seawal usia persekolahan khususnya mengenai naik turun beliau sehingga menggapai kejayaan seperti sekarang. 

"Saya terbabit dalam pembuatan kartun sejak sekian lama dari umur 12 ke 13 tahun. Ada turun naik, bukannya terus mendapat pengiktirafan kerana banyak kali juga kita ditolak (reject)... Pada permulaan 'reject' itu perkara biasa kerana jika tidak bermutu maka orang akan 'reject'. 

"Saya bermula melukis sejak usia budak lagi umur 12 ke 13 tahun. Di sini pun ada surat menyurat saya ketika itu dengan Sinaran Brothers iaitu penerbitan di Pulau Pinang. Saya tunjukkan di sini bahawa syarikat itu sanggup membeli dengan harga sekian ini pada saya yang waktu itu hanya seorang budak," katanya. 

Hampir 100,000 pengunjung tahun lalu 

Sementara itu, Mohamad Zaki yang juga Penolong Kurator dari Lembaga Muzium Negeri Perak berkata, hampir 100,000 pengunjung dicatatkan melawat Galeri Rumah Lat sepanjang tahun 2025. 

Katanya, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding sewaktu fasa awal pembukaan galeri itu yang bermula pada pertengahan tahun 2023 hingga penghujung 2024 memandangkan pada fasa itu pengunjung ke galeri berkenaan tidak dikenakan sebarang bayaran. 

"Dari segi kehadiran pada permulaannya sejak ia mula dibuka amat memberangsangkan sama ada pengunjung dari Malaysia dan luar memandangkan Datuk Lat ada banyak peminat daripada luar negara juga dengan karya-karyanya dan ketika itu masuk ke sini percuma. 

"Jadi pada awal 2025 kita kenakan harga tiket. Pengunjung masih ramai juga cuma berkurangan daripada asal. Hampir 100,000 pengunjung itu pun belum termasuk dengan program seperti lawatan sekolah, universiti, pasukan kajian atau penyelidik serta VIP," katanya. 

Menurutnya, bayaran tiket masuk ke Galeri Rumah Lat adalah RM5 untuk dewasa; RM2 untuk kanak-kanak dan pelajar, RM10 untuk bukan warga Malaysia, serta percuma untuk warga emas 60 tahun ke atas, kanak-kanak bawah dua tahun, serta orang kurang upaya (OKU).

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.