KUALA LUMPUR: Bandar Taiping, Perak dipilih sebagai lokasi penganjuran Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 13 dan 14 Jun ini.
Menurut jurucakap penganjur, acara berprestij itu akan menghimpunkan barisan pancaragam belia cemerlang dari seluruh Asia, sekali gus menjadi platform strategik dalam memartabatkan seni muzik pancaragam serta memperkukuh pertukaran budaya di peringkat antarabangsa.
"Penganjuran festival kali ini bakal mempamerkan kehebatan ensembel antarabangsa terkemuka, antaranya penyertaan dari Jepun menerusi Senshu University Kumamoto Tamana High School Ventures Performing & Arts Band serta Santa Maria de Bethania Marching Show Band dari Filipina.
"Turut
memeriahkan acara adalah wakil dari Indonesia, Marching Band Padang Lawas Maju,
selain dua kumpulan hebat dari Hong Kong, China iaitu The Chopiar Drumline dan
The Vigor Marching Band," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, kehadiran barisan pemuzik antarabangsa itu dijangka memberi saingan sengit kepada barisan pancaragam tempatan antaranya SMK King Edward VII Marching Band (The Beats), SMJK Nan Hwa, SMJK Sam Tet dan Sri Kuala Lumpur International School Wind Band.
"Kemuncak festival pada 13 Jun akan dimulakan dengan acara
perarakan pada jam 6 petang di Dataran Warisan Taiping yang bakal menampilkan
persembahan berwarna-warni sebelum diteruskan dengan Konsert Perasmian pada jam
8 malam.
"Konsert berkenaan akan mempamerkan persembahan daripada ensembel gabungan Malaysia, pancaragam antarabangsa serta persembahan Finale Besar yang menggabungkan semua peserta di atas satu pentas berprestij," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pada 14 Jun pula, kemeriahan festival akan diteruskan dengan penganjuran Fringe Festival yang bermula seawal jam 8 pagi di sekitar kawasan ikonik Pasar Besar Taiping.
"Program berkenaan direka khusus untuk menawarkan pengalaman interaktif kepada orang ramai melalui pembahagian tiga zon utama. Zon A bakal menempatkan persembahan Pancaragam Statik dan Ensembel Gabungan, manakala Zon B akan menjadi tumpuan bagi peminat aksi bertenaga Drumline dan Ensembel Kecil.
"Zon C akan dimeriahkan dengan acara Mini Perarakan serta persembahan memukau daripada pasukan Colour Guard. Konsep putaran zon ini bertujuan memastikan pengunjung dapat menikmati persembahan secara berterusan, sekali gus menghidupkan suasana bandar warisan Taiping dengan elemen muzik dan budaya.
Katanya, festival berkenaan berperanan besar sebagai wadah diplomasi rakyat dan medium pembangunan bakat belia, selain bertindak sebagai pemangkin kepada promosi pelancongan negeri.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan setiap
acara yang disusun, sekali gus menyaksikan sendiri kehebatan seni muzik
pancaragam dalam meraikan semangat perpaduan antarabangsa.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.