Friday, 19 July 2024

Royal FLORIA Putrajaya pamer spesies orkid unik ( 22 Ogos ~ 1 September 2024 @ Persisiran Tasik Presint 2, Putrajaya )

 


BERTEMAKAN Raikan Bersama, Celebrate Together!, satu pengalaman manis menanti penggemar bunga orkid menerusi Floria Diraja Putrajaya yang akan membuka tirainya bermula 22 Ogos hingga 1 September ini bertempat di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya.


Uniknya, festival ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian bunga berwarna-warni dalam reka bentuk landskap yang indah tetapi turut dijual di gerai tapak festival. Pengunjung pasti terpesona seakan berada di negara Eropah kerana dikelilingi ratusan ribu jenis pokok, tumbuhan dan bunga-bungaan.


Lebih menarik, acara yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 malam itu akan diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 Ogos (Khamis) di Pentas Utama Floria.


Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, Floria Diraja Putrajaya 2024 akan memaparkan komponen-komponen baharu yang dijangka akan menarik minat orang ramai terdiri daripada pelbagai golongan dan usia.


“Antara tarikan pada tahun ini adalah pihak kami akan mempamerkan lebih daripada 500 jenis pokok orkid spesies dan hibrid, Pameran dan Pertandingan Bonsai, Pameran dan Pertandingan Terarium, Pameran Floral Masterpiece bertemakan koleksi tumbuhan Highland dan Lowland yang menakjubkan, Laman bertemakan Zen Garden yang dihiasi dengan pokok bonsai, Laman Santai bertemakan koleksi tumbuhan tropika selain terdapat Pameran Orkid Khas iaitu lebih daripada 15 jenis orkid VIP akan dipamerkan terdiri daripada nama-nama diraja dan orang kenamaan.


“Selain itu, pameran kali ini juga akan memperkenalkan kepada umum satu lagi orkid baharu istimewa yang berdaftar dengan Royal Horticultural Society (RHS), London bersempena perasmian Floria Diraja Putrajaya 2024. Nantikan kemunculannya pada 22 Ogos ini!” ujar beliau.


Fadlun berkata objektif penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2024 adalah untuk mempromosikan Putrajaya dalam kepelbagaian produk pelancongan sedia ada di pusat pentadbiran kerajaan itu selain mempunyai potensi yang besar untuk menjadi salah sebuah destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa.


“Di samping itu, acara ini dilaksanakan bagi mempromosi dan mengetengahkan pelbagai jenis orkid dan hibridnya, memperkenal serta mempamerkan koleksi-koleksi spesies orkid khas, unik dan rare yang terdapat di Malaysia sekali gus menyokong industri orkid.


“Bukan itu sahaja, ia juga dapat memberi ilham dan idea reka bentuk hiasan, taman orkid dan bunga-bungaan lain kepada pengunjung dan orang ramai,” ujarnya.


Untuk Floria Diraja kali ke-13 itu, beliau memaklumkan pihaknya akan mempertandingkan Pertandingan Pameran Taman yang mana pertandingan tersebut mempertaruhkan hadiah wang tunai untuk Prime Award sebanyak RM10,000 melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.


“Terdapat sembilan kategori yang akan dipertandingkan iaitu Floria Iconic Award, Floria Garden Prime Award, Floria Garden Starlight Award, Floria Garden Award, Floria Best Booth Award Garden Bazaar, Floria Best Booth Award Community Garden, Floria Garden Creative Award, President’s Garden Award dan Floria People Most Choice Garden Award.


“Dalam masa sama, Pertandingan Terarium turut diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat serta kreativiti pelajar-pelajar sekolah di Putrajaya bagi mempamerkan keindahan seni miniatur landskap yang menarik dan kreatif selain menjadi sebahagian daripada tarikan di Floria Diraja Putrajaya 2024,” ujarnya.


Beliau berkata untuk penganjuran kali ini, pihaknya menawarkan lebih daripada 100 aktiviti dan persembahan pentas antaranya Bengkel Gubahan Bunga, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Hiasan ‘Cup Cake’, Bengkel ‘Doodle Art’, Bengkel Terrarium, Demo Masakan, Pertunjukan Fesyen, Floria Fun Run, Floria Fun Ride, Zumba, Face Fainting, Badut, Superhero Costume, Maskot, Kuiz & Teka Teki?, Persembahan Malam Kebudayaan – Singgah Seni, Persembahan Tarian Kebudayaan & Buskers serta pelbagai aktiviti sampingan dan hadiah menarik menanti pengunjung.


“Sebanyak 30 lot gerai jualan Garden Bazaar disediakan yang terdiri daripada jualan orkid (pelbagai spesies orkid hibrid dan hutan), pokok buah-buahan, perabot landskap, produk fertigasi dan hidroponik, pelbagai jenis baja dan pasu, produk berasaskan rotan serta tanaman landskap yang lain seperti petunia, ros, bunga raya, heliconia, bunga kertas, caladium, monstera dan banyak lagi.


“Kami juga menawarkan 12 lot gerai jualan Komuniti Garden dengan penglibatan jualan hasil dan produk pertanian bandar dari 11 kebun komuniti, pameran, jualan dan khidmat nasihat daripada rakan kerjasama Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta 12 lot gerai jualan kraf tangan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) yang menjual pelbagai produk kraf tangan, batik, songket, perhiasan dan lain-lain.


“Pihak kami juga menyediakan kawasan jualan makanan dan minuman unik yang dikenali sebagai Feast Garden dengan 164 gerai jualan terdiri daripada masakan tempatan dan antarabangsa, makanan jalanan popular, hidangan eksotik dan pencuci mulut dengan kapasiti 300 tempat duduk bagi memudahkan pengunjung menikmati makanan serta minuman yang dibeli sambil menonton Persembahan Eco Culture, World Music Buskers, Upcycling Drum Tribe, Fire Breather Showdown, Rimba Seruling Music, Malam Selawat & Tausiah (Manusia & Alam), Sape Didgeridoo Jam dan Magunatip Dance,” ujarnya.


Untuk Floria Diraja kali ini, Fadlun berkata pihak PPj menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung dan pelancong ke Putrajaya seterusnya dapat merancakkan lagi sektor ekonomi menerusi pelancongan acara.


“Bagi warganegara, kita kenakan caj bayaran tiket dewasa sebanyak RM10 manakala RM5 buat kanak-kanak. Untuk bukan warganegara pula, tiket dewasa adalah RM30 manakala kanak-kanak RM25. Buat kanak-kanak bawah tujuh tahun dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pula adalah percuma.


“Bagi pengunjung yang hadir, kita juga akan menyediakan kemudahan seperti surau, tandas, kerusi roda buat OKU dan warga emas serta paramedik daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial kami di Facebook @Perbadanan Putrajaya; X @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok ­­@perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my,” ujar beliau.

-WilayahKu.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.