Thursday, 25 July 2024

Rumah peranginan berbentuk buah kelapa pertama di Malaysia

 


LANGKAWI: Selepas memenangi pertandingan Airbnb OMG Fund 2022, Hakim Azly, 35, dan isterinya, Reena Sayra, 34, memperkenalkan rumah peranginan berbentuk buah kelapa pertama di Malaysia, Coconest.


Inisiatif ini bermula selepas idea pasangan ini dipilih daripada ribuan penyertaan dari seluruh dunia dan menerima dana AS$100,000 (RM467,525) daripada Airbnb untuk merealisasikan Coconest yang kini terletak di Tanjung Rhu, Langkawi.


Mula dibina pada 2022 dan beroperasi sepenuhnya pada 2023, Hakim dan Reena mendapat ilham untuk membina Coconest selepas melihat buah kelapa terapung di pantai berhampiran rumah.


Kemudian, mereka membeli tapak terapung di Tanjung Rhu untuk merealisasikan idea ini. 


Coconest terletak di kawasan strategik yang dikelilingi oleh taman geoforest, menawarkan pelbagai aktiviti seperti stand-up paddle, kayak, waterbike, hiking, dan snorkeling.


Reena berkata, aktiviti yang ditawarkan adalah hasil eksplorasi Reena sendiri yang meminati aktiviti luar dan ingin memperkenalkan keunikan Tanjung Rhu kepada mata dunia.


"Ada tiga gua kecil, satu bakau tersembunyi dan trek mendaki yang tidak ditawarkan di mana-mana kaunter agensi pelancongan di seluruh Malaysia," katanya kepada BH Online, baru-baru ini.


Coconest kini mempunyai satu unit penginapan dengan dua lagi unit sedang dalam pembinaan.

Setiap unit direka untuk memberikan pengalaman yang unik dengan pakej termasuk penginapan, sarapan, makan tengah hari, makan malam, dan aktiviti rekreasi.


Pasangan ini turut menekankan ekopelancongan dan kelestarian yang mana Coconest beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar bagi mengurangkan jejak karbon.


Reena berkata, mengendalikan Coconest di atas air sememangnya melalui pelbagai cabaran, termasuk kos operasi yang tinggi dan keperluan penyelenggaraan yang berterusan. Namun, pasangan ini bertekad untuk memberikan pengalaman yang berkualiti kepada tetamu.


"Setiap pakej terhad untuk dua hingga empat orang sahaja supaya tidak menjejaskan suasana  dan tetamu dapat merasai pengalaman penuh di Coconest," katanya.


Reena berkata, beliau juga sedang mempercepatkan pembinaan unit kedua dan ketiga Coconest dalam masa terdekat supaya dapat memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan pakej untuk empat hingga lima orang. "Kami berharap untuk mengembangkan Coconest dengan menambah lebih banyak unit dan memperkenalkan inisiatif penanaman terumbu karang pada masa akan datang.


"Kami juga berhasrat untuk membantu penduduk tempatan dengan menyediakan peluang pekerjaan, dengan fokus untuk mencipta persekitaran kerja yang baik dan mampan," katanya.


Reena berkata, beliau akan terus berusaha untuk memperkenalkan Tanjung Rhu sebagai destinasi pelancongan yang dikenali di peringkat antarabangsa melalui inovasi dan komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar.


"Semua pelancong yang datang ke Langkawi akan ke Pantai Cenang, naik kereta kabel dan membeli-belah, tak semua orang datang atau tahu akan kewujudan Tanjung Rhu," kata anak jati kelahiran Langkawi ini.


Reena berasal dari Langkawi dan mendapat pendidikan di Taylor's University dalam bidang pengurusan hospitaliti, kemudian bertemu dengan suaminya yang bekerja sebagai arkitek di Amerika Syarikat. 


Selepas berkahwin dan memenangi pertandingan Airbnb, mereka memutuskan untuk kembali ke Malaysia dan membangunkan Coconest sebagai projek bersama.


Dengan dedikasi mereka terhadap inovasi, kelestarian, dan pengalaman tetamu yang unik, Coconest dijangka menjadi ikon pelancongan yang menarik dan mesra alam di Malaysia.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.