AYER KEROH, 9 JULAI 2024 - Sejajar
dengan Tahun Melawat Melaka 2024, Tourism Malaysia menganjurkan program Lawatan
Bersama Media Influencer Sempena Kempen Cuti-Cuti Malaysia bagi menyemarakkan
lagi pelancongan domestik dengan memperkenalkan destinasi-destinasi menarik di
sekitar Melaka.
Program lawatan ini merupakan antara usaha mempergiatkan promosi
sektor pelancongan dalam negara sekali gus menonjolkan keunikan Melaka sebagai
destinasi pelancongan utama di Malaysia. Lawatan terdiri daripada 9 wakil media
melibatkan pengamal media baharu selama empat hari bermula 2 hingga 5 Julai
2024.
Edisi kali ini membawa para peserta meneroka produk-produk
pelancongan di beberapa lokasi menarik yang mempunyai nilai sejarah, ekologi,
dan budaya yang unik. Antara tempat yang dilawati adalah Pusat Konservasi &
Penerangan Penyu Padang Kemunting yang terletak di Masjid Tanah, Melaka. Pusat
konservasi ini mencatatkan pendaratan Penyu Karah tertinggi di Semenanjung
Malaysia dan berada di bawah naungan Jabatan Perikanan Malaysia dengan sokongan
dari Kerajaan Negeri Melaka.
Selain itu, peserta berpeluang untuk menikmati penginapan di The
Arjana Resort yang terletak di Jalan Pengkalan Balak, serta mengikuti Eco
Cruise Sungai Linggi. Eco-Cruise Sungai Linggi adalah antara tarikan
pelancongan terbaharu negeri Melaka yang dilancarkan pada awal tahun 2024.
Peserta program dibawa menyusuri Sungai Linggi bermula dari Jeti Paya Lebar ke
beberapa lokasi menarik sepanjang pengembaraan selama tiga jam, termasuk Sabak
Arang, Taman Lokan, dan Kota Simpang.
The Coco Journey, sebuah produk pelancongan inap dusun ala
resort pertama di negeri Melaka, juga merupakan salah satu destinasi lawatan.
Produk agro pelancongan ini menawarkan penginapan mewah di Villa @Coco atau
glamping Eco Tent @Coco serta Eco Dome @Coco di kelilingi kira-kira 2,100
batang pokok kelapa dan avokado.
Para peserta juga dibawa ke Pantai Klebang untuk menikmati
aktiviti santai serta melawat Bengkel Pembuatan Kereta Lembu di Kampung Tambak
Bugis. Di sini, peserta akan mengenali dan mengalami sendiri proses pembuatan,
baikpulih serta pemasangan kereta lembu oleh satu-satunya pembuat dan
pembaikpulih kereta lembu tradisional negeri Melaka, En. Samsudin Abdul.
Sebagai daya tarikan, peserta akan dibawa bersiar-siar sekitar Kampung Tambak
Bugis menaiki kereta lembu tradisional.
Selain itu, lawatan ke Taman Laut Melaka juga disertakan dalam
program ini dengan mengunjungi tiga buah pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol,
dan Pulau Nangka yang telah diwartakan pada 4 April 2023. Pulau Undan terkenal
dengan keindahan alam semulajadi serta rumah api yang dibina oleh kerajaan
Belanda pada tahun 1880-an. Pulau Nangka dan Pulau Dodol pula memiliki pantai
yang bersih dengan air laut yang jernih, sesuai untuk aktiviti seperti berenang
atau snorkeling.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia
berkata, "Program ini adalah satu usaha murni untuk memperkenalkan Melaka
sebagai destinasi pelancongan domestik yang unggul. Kami berharap melalui
lawatan ini, para influencer dapat berkongsi pengalaman mereka dan menarik
lebih ramai pelancong untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di Melaka. Melaka
mempunyai banyak tarikan unik yang menanti untuk diterokai, dan kami yakin ini
akan meningkatkan lagi sektor pelancongan domestik."
“Melalui program ini, diharapkan dapat meningkatkan lagi
kesedaran dan minat orang ramai terhadap destinasi pelancongan tempatan serta
menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan sektor pelancongan domestik”
katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.