Monday 19 December 2022

Tourism Malaysia Lancar ‘FUN MAP HOMESTAY NEGERI SEMBILAN’

 


PORT DICKSON, 18 Disember 2022 – Bersempena dengan program Jom Poie Homestay Negeri Sembilan, Tourism Malaysia telah melancarkan Fun Map Homestay Negeri Sembilan yang dilengkapi dengan butiran homestay terkini di sekitar tujuh (7) daerah negeri tersebut.

Pelancaran Fun Map Homestay Negeri Sembilan merupakan acara penutupan bagi program Jom Poie Homestay Negeri Sembilan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Disember 2022 dan dihadiri oleh 30 peserta terdiri daripada agensi pelancongan, pemandu pelancong dan juga pihak media.

Dirasmikan oleh Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, majlis turut dihadiri oleh Puan Siti Mazlina Maidin, Pengarah MOTAC Negeri Sembilan; Encik Mohd Farhan Mohd Salleh, Pengurus Promosi dan Pemasaran, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan; Encik Azmi Abdullah, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, pengusaha-pengusaha homestay dan pemain pelancongan tempatan.

Encik Iskandar berkata, inisiatif ini memfokuskan trend pelacongan terkini iaitu experiential tourism yang memberi peluang kepada para pelancong untuk berinteraksi serta menyelami gaya hidup seharian masyarakat kampung termasuk mengenali dengan lebih dekat tentang kebudayaan dan tradisi masyarakat tempatan.

“Sehingga bulan September 2022, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya merekodkan seramai 67,360 pelancong yang telah menginap di homestay seluruh Malaysia merangkumi pelancong antarabangsa dan domestik dengan jumlah pendapatan sebanyak RM 3.1 juta,” tambah beliau.

Antara pakej dan produk homestay yang dipromosikan termasuklah pakej 3 hari 2 malam di Homestay D’Pelanduk Best, Port Dickson; pakej 2 Hari 1 malam di Homestay Pelegong, Labu; pakej 3 hari 2 malam di Homestay Lonek, Bahau; pakej 1 hari di Homestay Klawang; pakej 2 hari 1 malam di Homestay Pachitan, Port Dickson dan pakej 2 hari 1 malam di Homestay Kampung Rawa, Lenggeng.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.