Tuesday 27 December 2022

Kembalikan ‘aura’ Tasik Bera

 


BERA: Usaha membangunkan semula Kompleks Pelancongan Tasik Bera di sini termasuk usaha melindungi, memulihara ekosistem dan mengembalikan ‘aura’ tasik air tawar semula jadi terbesar negara tersebut perlu diserahkan kepada syarikat yang benar-benar berkemampuan dan mempunyai perancangan yang jelas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Bera, Khairol Amin Mohd. Tahir berkata, ini kerana syarikat yang diberikan tanggungjawab memajukan Tasik Bera sebelum ini gagal melaksanakan tugasnya.

Katanya, impak kegagalan syarikat itu memberikan kesan buruk kepada imej Tasik Bera sebagai salah satu destinasi ekopelancongan istimewa flora dan fauna ternama negara.

“Sejak beberapa tahun lalu, Tasik Bera yang merupakan tasik semula jadi di kawasan Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) seolah-olah tiada dalam radar pelancongan negara.

“Oleh itu, Tourism Pahang yang memperlawa syarikat baharu perlu mengambil kira kemampuan dan keikhlasan pemaju untuk mengembalikan tarikan Tasik Bera,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Khairol Amin berkata, sebagai anak jati Bera, beliau terkilan dengan ketidakmampuan pihak berkenaan memajukan Tasik Bera sebagai produk pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Beliau berkata, jika dieksploitasi sepenuhnya keindahan semula jadi Tasik Bera bersama kehidupan masyarakat Orang Asli etnik Semelai di situ, ia mampu memberi impak ekonomi kepada kehidupan penduduk setempat.

Tambah beliau, Tourism Pahang difahamkan sedang memilih syarikat baharu untuk membangunkan Kompleks Pelancongan Tasik Bera.

“Persatuan bersedia bekerjasama dengan syarikat baharu demi kemajuan pelancongan Bera dan negeri Pahang.

“Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Bera akan mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man bagi membincangkan isu ini,” katanya.

Menurutnya, diharap Yu Man yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang selaku wakil rakyat dalam Parlimen Bera dapat berperanan bagi meletakkan Tasik Bera sebagai lokasi tarikan pelancongan negara.

Ini kerana ujarnya, Tasik Bera yang terletak di sempadan Daerah Rompin melalui Bandar Muadzam Shah mudah dikunjungi pelancong sekiranya rangkaian jalan raya dinaik taraf dan Tasik Bera mempunyai ‘aura’ untuk dikunjungi. Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 450 hektar kawasan tasik itu diceroboh sejak dua tahun lalu mengakibatkan pelbagai jenis pokok balak terutama spesies merawan jantan ditebang, sekali menjejaskan ekosistem kawasan itu. 

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.