PUTRAJAYA, 15 Disember 2022 -
Tourism Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya telah menganjurkan
program “Discover Putrajaya” Lawatan Produk Pelancongan dan Bengkel Pembangunan
Pakej Putrajaya Untuk Agensi Pelancongan Dan Media 2022 dalam usaha merancakkan
promosi pelancongan domestik.
Program ini bertujuan
memastikan inisiatif yang berterusan bagi mempromosikan produk-produk
pelancongan menarik dan unik di Putrajaya, khususnya menerusi pembangunan serta
penjualan pakej oleh agensi-agensi pelancongan.
Sebanyak 10 agensi pelancongan
dan enam wakil media menyertai program berkenaan yang berlangsung selama 3
hari bermula 13 Disember 2022 dengan 11 produk pelancongan diketengahkan
mengikut syor Perbadanan Putrajaya meliputi tarikan utama, produk baharu,
ekopelancongan, agropelancongan, gastronomi dan segmen pelancongan minat khas.
Produk-produk pelancongan
tersebut merangkumi projek penternakan kelulut di Kebun Kelulut Komuniti
Presint 15, kedai coklat terbesar di Lembah Klang iaitu Souq Shoppe@ Putra
Mosque dan Putrajaya Story di Presint 1, Cruise Tasik Putrajaya, Glamping @
Wetland Putrajaya, Kompleks Nasyrul Quran yang merupakan pusat percetakan
al-Quran kedua terbesar di dunia, Taman Ekuestrian Putrajaya, Taman Wetland,
pantai buatan di Anjung Floria, Putrajaya Seafood Restaurant dan terbaharu,
Taman Cahaya Putra Perdana & Tangga Putrajaya di Presint 1.
Dato’ Hj. Zainuddin Abdul
Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran program “Discover
Putrajaya” merupakan salah satu usaha berterusan Tourism Malaysia dalam
meningkatkan promosi pelancongan domestik selari dengan aspirasi kerajaan untuk
terus memperkukuhkan sektor pelancongan dalam negara di bawah Pelan Pemulihan
Pelancongan 2022.
“Melalui penganjuran lawatan
dan bengkel pembangunan pakej pelancongan, para peserta bukan sahaja dapat
merasai sendiri pengalaman melawat serta mendapatkan maklumat lebih terperinci
berkenaan produk-produk pelancongan yang dilawati, malahan penambahbaikan
tawaran pakej juga dapat disesuaikan dengan trend pelancongan terkini.
“Sebagai bandar yang menempatkan pusat
pentadbiran kerajaan Persekutuan bertaraf dunia, promosi pelancongan Putrajaya
harus terus dipertingkatkan selari dengan visi untuk mencapai Putrajaya Mampan
dan ke arah Global City,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.