Friday, 9 December 2022

MOTAC jamin bantu naik taraf kemudahan pelancongan tempatan

 


KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membantu menaik taraf kemudahan dan premis pelancongan tempatan di Sabah.


Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing semasa pertemuan bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin di Putrajaya hari ini.


Jafry berkata, dalam pertemuan itu, King Sing memberi jaminan kementerian di peringkat Persekutuan akan membantu usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur pelancongan tempatan yang terdapat di Sabah.


Beliau berkata, pelancongan berasaskan kominiti kini menjadi pilihan pelancong tempatan dan juga pelancong asing di Sabah maka, bantuan harus diberikan bagi membolehkan produk pelancongan ditawarkan memenuhi harapan pelancong.


“Kita lihat trend pelancongan kita sudah berbeza kerana lebih ramai yang pergi ke tempat seperti ini dan mereka mahu melihat keindahan alam semulajadi sekali gus mengalami sendiri kehidupan serta budaya masyarakat di sesebuah tempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Hadir sama dalam Kunjungan Hormat itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh Sandhu dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman.


afry berkata, Kementerian Pelancongan di peringkat negeri menyabut baik hasrat Motac dalam membantu pengusaha pelancongan menaik taraf kualiti infrastruktur sedia ada demi memberi keselesaan kepada pelancong.


Menurut beliau lagi, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk isu pembaharuan lesen bas persiaran dan kenderaan sewa pandu (BPKSP) di Sabah.


Jelas beliau, Motac memandang serius isu pengoperasian sektor pelancongan dan King Sing komited untuk menyelesaikan isu terbabit secara tuntas.

Usaha-usaha sebegitu dilihat akan membantu memulihkan sepenuhnya industri pelancongan negara.


Jafry juga yakin kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan di peringkat negeri dan Persekutuan bakal memberi impak besar khususnya kepada pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan di Sabah.


Dalam memastikan penggiat industri pelancongan terus berdaya saing, kementeriannya juga akan memohon bantuan atau insentif kerajaan menerusi Motac bagi membantu dari segi promosi dan pemasaran produk-produk pelancongan dan kebudayaan Sabah.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.