Thursday 17 November 2022

Tourism Malaysia Anjur Misi Jualan Pelancongan Ke Indonesia

 


JAKARTA, 15 November 2022Tourism Malaysia hari ini meneruskan misi jualan pelancongan ke Indonesia bagi menggiatkan promosi pelancongan antarabangsa dengan mempertemukan pemain industri pelancongan Malaysia dan Indonesia dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).

Misi jualan pelancongan ini berlangsung di dua bandar utama di Indonesia iaitu Jakarta dan Medan bermula 15 hingga 18 November 2022 bagi memperkenalkan pelbagai produk dan pakej pelancongan terkini untuk menarik minat pelancong Indonesia ke Malaysia.

Misi kali ini memfokuskan kepada segmen pelancongan santai (leisure), beli-belah dan sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) yang dikenal pasti menjadi pilihan bagi pelancong Indonesia. Selain itu, misi kali ini juga menyaksikan pelancaran promosi pelancongan secara dalam talian bersama Blibli.com serta pelancaran kerjasama antara syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Air Asia.

Misi jualan pelancongan ini disertai oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Malaysia Airlines, Air Asia, 15 ejen pelancongan, 2 operator taman tema dan 12 wakil hotel dari Malaysia. Delegasi Malaysia diketuai oleh Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia.

Encik Mohd Yusri berkata, misi jualan pelancongan ke Indonesia adalah penting untuk menggiatkan promosi pelancongan pasca pandemik Covid-19 bagi menarik minat dan meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan warga Indonesia untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi percutian selamat.

“Sejak pembukaan sempadan antarabangsa, Malaysia telah merekodkan ketibaan seramai 435,156 pelancong Indonesia dari Januari sehingga Julai tahun ini. Secara keseluruhannya seramai 5.5 juta ketibaan pelancong asing telah direkodkan sehingga September 2022 dan jumlah ini dilihat menghampiri sasaran ketibaan 9.2 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini ,” katanya.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.