Thursday 10 November 2022

Lorong Rakyat bakal jadi tarikan destinasi pelancongan

 

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Projek Lorong Rakyat di tapak Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, di sini hari ini.

Inisiatif Lorong Rakyat itu adalah bertepatan dengan usaha bagi mengangkat kawasan perkampungan nelayan itu sebagai salah satu destinasi pilihan pelancongan di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, usaha yang dilaksanakan Bank Rakyat dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu adalah berorientasikan kerja khidmat masyarakat yang turut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

“Aspirasi transformasi ini memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi penduduk setempat,” titah baginda.

Keberangkatan tiba baginda bagi pelancaran lorong itu disambut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaannya, Ahmad Shahril Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani.

Dalam pada itu, Suriani menerusi ucapannya berkata, tujuan pelaksanaan inisiatif itu adalah sebagai usaha Bank Rakyat menyokong aktiviti pengindahan kawasan kampung nelayan selain memberi manfaat kepada komuniti setempat daripada segi pembangunan ekonomi melalui aktiviti eko pelancongan.

“Bank Rakyat amat berbesar hati dalam membantu melaksanakan pelbagai aktiviti pengindahan kampung antaranya seperti inisiatif Lorong Rakyat ini yang diceriakan dengan hiasan payung tergantung sebagai lelangit bagi menghidupkan suasana dan melaksanakan aktiviti bergotong-royong mengecat 16 buah rumah,” katanya.

Tambahnya, Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat turut diwujudkan di kampung berkenaan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu penduduk kampung dalam kalangan B40.

“Langkah ini dapat membantu mereka menjana pendapatan secara lestari bagi menguruskan tanaman yang dihasilkan dan boleh dijual untuk meningkatkan ekonomi selain menjamin sekuriti makanan,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.