Wednesday, 21 April 2021

Tourism Malaysia Lancar Laman Tourism Interactive Digital Brochures

 

photo: Tourism Malaysia/Suhaimi

KUALA LUMPUR, 20 April 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia hari ini melancarkan Tourism Interactive Digital Brochures, iaitu sebuah laman microsite yang memberikan nafas baharu kepada penjenamaan semula pendigitalan risalah-risalah Tourism Malaysia menerusi pelayaran secara interaktif di ebrochures.malaysia.travel.


YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang hadir melancarkan laman tersebut berkata, sebagai permulaan, lima risalah digital Tourism Malaysia paling digemari pelancong telah dimuat naik di laman tersebut iaitu Malaysia Travel Guide, Kuala Lumpur the Dazzling Capital City, Langkawi the Jewel of Kedah, Islands and Beaches dan Adventures with Nature.


Berbeza dengan penerbitan e-brosur berformatkan pdf yang hanya boleh dimuat turun dan dicetak, risalah versi digital serba baharu di laman tersebut kini menggabungkan pelbagai elemen multimedia seperti teks, audio, grafik, animasi serta video untuk penyampaian informasi lebih berkesan.


Laman tersebut bersifat mesra pengguna dan lebih responsif sekali gus memudahkan orang ramai mengakses risalah tersebut melalui peranti mudah alih seperti telefon pintar, tablet mahupun komputer riba. Kandungan risalah digitalnya turut mudah dikongsi melalui pelbagai aplikasi lain seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan juga emel.


Selain mengguna pakai Google Analytics untuk penganalisisan data dan bersifat mesra Search Engine Optimization (SEO) bagi capaian lebih meluas, laman tersebut yang direka khas dengan paparan lebih moden dan bergaya, juga boleh dikemas kini dengan serta-merta.


Menurut Dato’ Sri Hajah Nancy lagi, pelancaran Tourism Interactive Digital Brochures adalah sejajar dengan usaha untuk mempergiat digitalisasi pelancongan bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan seperti digariskan di bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.


“Laman ini memanfaatkan pautan Google Maps untuk membantu para pelancong serta pengusaha pelancongan bagi merancang perjalanan, memilih penginapan yang sesuai serta mengetahui kemudahan yang ada di sekelilingnya seperti stesen minyak, restoran, kemudahan parkir dan hospital,” jelas beliau


YB Dato’ Sri Hajah Nancy menyeru orang ramai untuk memanfaatkan informasi yang ada dalam laman interaktif tersebut serta mengambil peluang merancang percutian selamat bersama keluarga dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

-Tourism Malaysia.

https://ebrochures.malaysia.travel

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.