Melaka: Menunggu sejak 8 pagi ketika hujan lebat nyata memberi pulangan lumayan, apabila seorang tukang kayu, Sapri Tandi, 52, berjaya menjinakkan ikan kurau seberat 885 gram dan membawa pulang wang tunai RM25,000 hasil kemenangan itu.
Sapri bapa kepada empat anak berusia 14 tahun hingga 25 tahun itu berjaya menjinakkan ikan itu pada 10 pagi dan seterusnya memenangi Cabaran Memancing Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, hari ini.
Menurutnya, berkat kesabaran mencangkuk jangkar merah (cacing pasir) yang digabungkan dengan udang hidup pada satu mata kail, membawa kejayaan itu.
"Alhamdulillah, Allah melimpahkan rezeki saya kali ini selepas berkali-kali menyertai pertandingan joran di pantai ini sebelum ini.
"Saya bersyukur dan akan menggunakan wang ini untuk kepentingan keluarga," katanya ketika ditemui selepas penyerahan hadiah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di Balai Budaya Pantai Puteri, di sini.
Pertandingan anjuran Wak Jali Event Management itu dimulakan pada 8.30 pagi sebelum berakhir empat jam kemudian dalam keadaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Naib johan dimenangi Samsuri Sulaiman yang membawa pulang wang tunai RM7,000 dan tempat ketiga dimenangi Khairul Anuar Khalid (RM3,000).
-Harian Metro.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.