Tuesday, 13 April 2021

Dana Geran Sokongan Pelancongan, Seni & Budaya (GSPSB) Bantu Penganjuran Program Pelancongan, Seni & Budaya

 


9 April 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Malaysia akan meneruskan pemberian Geran Sokongan Pelancongan, Seni & Budaya (GSPSB) yang tertangguh pada tahun lalu sebagai langkah pemulihan industri yang terjejas dengan penularan pandemik Covid-19.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan penyambungan semula peruntukan berkenaan setelah ia ditangguhkan pada tahun lalu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.


GSPSB yang merupakan peruntukan one-off di bawah seliaan MOTAC, mula digunakan bermula Februari 2020 dengan baki peruntukan semasa sebanyak RM24 juta, daripada jumlah peruntukan keseluruhan bernilai RM30 juta.


Ia bertujuan menyemarakkan dan mengaktifkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya agar terus berdaya saing melalui pemberian sokongan dan bantuan insentif kepada pihak swasta serta persatuan bukan kerajaan (NGO) penggiat industri bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi.


Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy, penganjuran acara dan program di bawah dana GSPSB mesti diadakan di dalam negara, dengan memiliki elemen tarikan penyertaan dari negeri-negeri di seluruh Malaysia.


“Selain menjana pergerakan pelancongan domestik dan juga antarabangsa apabila pintu sempadan dibuka kelak, ia juga perlu merangsang serta memberi faedah kepada industri pelancongan secara keseluruhan,” tambah beliau.


Penggiat industri yang layak memohon GSPSB termasuklah syarikat dan organisasi swasta tempatan, syarikat berkaitan kerajaan negeri, anak syarikat di bawah kerajaan negeri dan NGO tempatan.


Nilai yang ditetapkan bagi penganjuran sesebuah acara atau program di bawah GSPSB adalah berjumlah antara RM20,000 sehingga RM500,000. GSPSB turut ditetapkan pada kadar maksimum 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar keseluruhan acara dan program atau mengikut siling maksimum RM500,000.


Walau bagaimanapun, pertimbangan permohonan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini dari semasa ke semasa.


Untuk memohon atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai GSPSB, sila layari laman sesawang www.tourism.gov.my atau hubungi talian 03-8891 8191/8192/8196/8232.

-Tourism Malaysia.

https://www.tourism.gov.my/files/uploads/GSPSB_pascacovid.pdf

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.