Wednesday, 14 April 2021

Kempen CCM ‘JOM DIVE!’ Tawar Diskaun Istimewa Pakej Selam Skuba

 


PUTRAJAYA, 12 April 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia melancarkan Kempen Cuti-Cuti Malaysia (CCM) ‘Jom Dive!’ dengan kerjasama Persatuan Penyelam Skuba Malaysia bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengunjungi pulau-pulau di negara ini serta menikmati kepelbagaian khazanah marin.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri berkata, kempen ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk merancakkan kembali ekonomi negara melalui penglibatan para penggiat industri pelancongan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).


Kempen bermula dari 12 April sehingga 31 Mei 2021, menawarkan potongan harga istimewa kepada orang ramai yang ingin mendapatkan lesen aktiviti selam skuba selain turut menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang menarik. Melalui kempen ini, sebanyak 1,000 pakej selam skuba ditawarkan berdasarkan terma dan syarat ‘siapa cepat, dia dapat’. Pemberian diskaun sebanyak RM450 akan diberikan bagi setiap pembelian pakej berharga RM1,000 dan ke atas di dalam satu resit.


“Dengan adanya kempen ini, ia diharap dapat meningkatkan keyakinan rakyat untuk melancong serta menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik dengan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada. Selain itu, ia diharap dapat memupuk minat, kesedaran serta rasa kecintaan orang ramai terhadap keindahan dasar laut semula jadi yang terdapat di dalam negara ini,” jelas Dato’ Sri Hajah Nancy.


Beliau turut menyeru agar orang ramai merebut peluang keemasan ini untuk meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati keunikan khazanah hidupan marin serta keindahan pulau-pulau di Malaysia.


Maklumat lanjut berkenaan kempen ini boleh didapati dengan melayari laman sesawang Tourism Malaysia, www.malaysia.travel atau platform www.xtvt.com.my.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.