Monday, 2 September 2019

Borneo Ant House Tuaran tambah tiga tarikan baharu


TUARAN, 2 Sept -- Borneo Ant House atau rumah semut di Kampung Kindu, kira-kira 7.5 kilometer dari sini menambah tiga kemudahan baharu sebagai daya tarikan pelawat taman mini pendidikan terkenal di daerah ini.

Pengurus Besar Borneo Ant House Suziana Sandhu berkata tarikan baharu itu ialah rumah tradisional etnik Bajau Samah dan Dusun Lotud, serta permainan lasak mencabar iaitu ‘zipline’.

"Rumah tradisional etnik Bajau Samah dan Dusun Lotud itu dibina menggunakan tumbuhan hutan seperti bambu, bakau, nibong, rumbia dan rotan yang banyak terdapat di sekitar Tuaran.

"Pelawat tidak dikenakan bayaran tambahan untuk mengunjungi dua rumah tradisional itu, kecuali zipline mengenakan kadar tertentu jika pengunjung ingin mencubanya," katanya kepada Bernama, di sini.

Rumah semut pertama di Malaysia yang mempamerkan 618 arca semut itu dibina di atas tapak seluas 1.2 hektar oleh pasangan pesara pendidik Tarmizi Sandhu dan Sufiah Abdul Rahim Lee yang mula beroperasi pada 1 Julai 2017.

Katanya pada awal pembukaannya, rumah semut itu mempunyai 463 arca semut yang dibina khas di bawah tanah untuk menggambarkan kehidupan sebenar serangga itu, sebelum bertambah menjadi 618 arca termasuk lapan arca semut gergasi berukuran 4.5 meter panjang, 2.66 meter lebar dan 1.36 meter tinggi.

"Setakat ini, Borneo Ant House menerima dua anugerah galeri arca semut bawah tanah pertama di Malaysia dan arca semut terbesar di Malaysia daripada Malaysia Book of Records (MBR) pada tahun lepas, " katanya sambil menambah setakat ini Borneo Ant House sudah dikunjungi lebih 25,000 pelawat tempatan dan pelancong asing.

Selain itu, Borneo Ant House turut mengandungi elemen lain iaitu kebudayaan, kehidupan dan tumbuh-tumbuhan yang pasti menarik perhatian pelawat seperti jambatan gantung atas pokok setinggi 75 meter, muzium mini dan 70 jenis tumbuhan termasuk herba dan buah-buahan.
-bernama.
https://www.facebook.com/borneoanthouse/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.