Menurut Penganalisis RHB Research Institute, Aris Nazman Maslan, perkara itu secara tidak langsung dapat membantu me­ningkatkan industri pelancong­an susulan caj perkhidmatan penumpang (PSC) ke mana-mana destinasi ASEAN dari semua lapangan terbang utama di Malaysia dikurangkan daripada RM65 kepada RM35.

“Mungkin AirAsia akan me­ningkatkan jumlah kekerapan pesawat untuk bersaing dengan syarikat penerbangan lain yang turut beroperasi di KLIA. Ini juga memberikan lebih banyak pi­lihan kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, Suruhanjaya Pe­nerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan semua la­pangan terbang dalam negara akan me­ngalami perubahan PSC berkuat kuasa 1 Januari 2017, yang turut menyaksikan caj bagi penerbang­an domestik dan ASEAN di KLIA dan KLIA2 disamakan.

Perubahan caj itu menyebabkan ka­dar PSC yang dikenakan untuk ke­semua lapangan terbang dalam negara akan mening­kat antara 12 peratus hingga 80 peratus, kecuali bagi penerbangan ASEAN untuk KLIA dan la­pangan terbang lain yang diturunkan daripada RM65 kepada RM35 atau penurunan 46 peratus.

Kesan daripada itu, AirAsia menyatakan kesediaan syarikat itu memindahkan operasinya ke KLIA, dengan alasan KLIA mempunyai fasiliti yang lebih banyak berbanding apa yang ditawarkan di KLIA2 dari segi pe­ngalaman dan memenuhi selera pe­ngguna.

Dalam pada itu Pengarah Komunikasi, Penyelesaian Per­tikaian dan Mobilisasi Sumber, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T. Saravanan menyambut baik hasrat AirAsia untuk berpindah ke KLIA.
Katanya, langkah itu dilihat sebagai menguntungkan pengguna kerana dapat menikmati kemudahan dan infrastruktur lebih selesa di KLIA.

“Kenapa penumpang perlu membayar PSC pada kadar yang sama untuk lapangan terbang yang berbeza? Jika bayaran yang dikenakan sama ada di KLIA atau KLIA2 adalah sama, saya yakin rata-rata penumpang lebih gembira jika AirAsia berpindah ke KLIA,” katanya.

Tambah beliau, pemindahan AirAsia ke KLIA juga mampu memberi impak positif terhadap sektor runcit di KLIA dengan penambahan penumpang dan pengunjung ke lapangan terbang berkenaan. “Ini memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya.