Dapor Warisan di Kompleks Sultan Iskandar Warisan Johor adalah antara produk pelancongan baharu yang cuba diketengahkan untuk menarik pelancong dari luar negara datang ke Johor. |
ISKANDAR PUTERI 22 Nov. – Pelbagai usaha sudah dan akan dijalankan bagi mempertingkatkan lagi produk eko dan agro pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke
negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, antara usaha itu dengan mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan sokongan di kawasan eko dan agro pelancongan seperti jalan masuk, papan tanda, keselamatan dan sebagainya.
“Kita juga akan memperhebatkan kempen promosi dan pemasaran dengan merangka pelan tindakan yang bersepadu agar lebih berkesan melalui penerbitan risalah eko dan agro pelancongan, penyertaan dalam pameran pelancongan dan program lawatan pengenalan.
“Selain itu, pakej-pakej eko dan agro pelancongan yang lebih kreatif akan diperbanyakkan lagi dengan mengenal pasti produk-produk sokongannya,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abd. Razak Minhat (BN-Serom) dan Norshida Ibrahim (BN-Buluh Kasap) mengenai pencapaian kolaborasi sektor pertanian dan sektor pelancongan serta langkah memperhebatkan sektor agro pelancongan di negeri ini.
Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, inisiatif lain yang akan dilakukan adalah merangka dan mempelbagaikan aktiviti pelancongan termasuk menganjurkan acara-acara berkaitan dengan eko dan agro pelancongan.
Katanya, usaha itu termasuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan melalui kursus hospitaliti kepada warga kerja di kawasan eko dan agro pelancongan berkenaan.
Ujar beliau, semua usaha itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini khususnya ke destinasi eko dan agro pelancongan seperti Desaru Leisure Farm, Kahang Organic Eco-Farm Resort dan Kulai StarFish Leisure Farm.
Justeru, agensi berkaitan seperti Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Perhutanan negeri, Jabatan Pertanian negeri, Tourism Johor serta Pihak Berkuasa Tempatan digesa untuk terus berganding bahu bagi menjayakan usaha berkenaan.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.