Malah, kewujudan kolam air panas semula jadi di pusat peranginan yang baru dibuka pada Februari lalu itu menjanjikan kelainan kepada pengunjung.
Selain menikmati udara nyaman belantara dan ‘kemerduan nyanyian’ unggas rimba, pengunjung dapat menyegarkan badan dengan mandi serta berendam di kolam air panas berkenaan.

Mereka juga boleh ke kawasan berhampiran seperti Air Terjun Chamang atau Janda Baik bagi melakukan aktiviti lasak termasuk treking.

Semasa musim buah-buahan pula, pengunjung dapat menikmati keenakan durian istimewa Bentong selain mendapatkan halia Bentong yang diiktiraf sebagai halia terbaik di dunia.

Pengurus Jualan Suria Hotspring Resort, Haris Fadzillah Hamat berkata, tarikan utama di pusat peranginan berkenaan adalah kolam air panas semula jadi yang menjadi tumpuan sejak sekian lama.

Katanya, terdapat kolam besar dan kecil yang disediakan bagi membolehkan pengunjung merendam kaki selain ‘jakuzi hotspring’ daripada sumber air panas semula jadi di setiap unit Villa.

“Pengunjung tidak perlu risau menggunakan air panas semula jadi ini kerana ia akan ditapis dan ditukar bagi memastikan kebersihannya pada setiap masa,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurut Haris Fadzillah, Suria Hot Spring yang menyediakan 80 bilik itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung.
Katanya, pada masa ini terdapat 60 bilik deluxe selain 20 unit villa dengan harga yang ditawarkan bagi bilik deluxe ialah antara RM230 hingga RM310 manakala bagi unit Villa pula antara RM580 hingga RM620.

“Ia berkonsepkan keluarga dan syarikat atau korporat, jadi di sini tiada bilik ‘single’ yang mana dalam pakej deluxe kita menyediakan katil untuk tiga orang dan juga empat orang yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti televisyen, peti sejuk serta internet,” katanya.

Tambahnya, kemudahan lain yang disediakan termasuk bilik mesyuarat, dewan serba guna, bilik seminar, surau dan taman permainan kanak-kanak.
Pengunjung yang beragama Islam juga tidak perlu risau memandangkan restoran di situ yang menyediakan pelbagai juadah bukan sahaja mendapat pengiktirafan kebersihan ‘A’ tetapi mempunyai kelulusan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pelbagai pakej turut ditawarkan di situ seperti sambutan hari jadi, jamuan perpisahan, seminar, korporat dan majlis kenduri doa selamat,” katanya.
Maklumat lanjut dan tempahan boleh dibuat dengan menghubungi pihak Suria Hotspring Resort ditalian 09-2210200 atau emel:groupsales1@suriaresorts.com
-Utusan Online.