Sunday, 18 September 2011

Syarikat Hong Kong labur RM500 juta di Melaka

MELAKA 17 Sept. - Program Malaysia Rumah Keduaku akan menjadi tarikan terbaru di negeri ini apabila kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat dari Hong Kong., Far East Consortium International Ltd., untuk membangunkan sebuah bandar baru di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, syarikat terlibat sudah bersetuju untuk melabur kira-kira RM500 juta hingga RM1 bilion bagi tujuan itu. Menurutnya, projek pembinaan bandar baru di dalam sektor harta tanah itu dicadangkan akan dibangunkan sama ada di Ayer Keroh atau Bemban di Jasin.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dalam program itu dengan matlamat menarik minat kedatangan pelancong dari Rusia, China dan beberapa negara Eropah untuk menjadikan Melaka sebagai rumah kedua mereka. "Syarikat ini juga sudah bersetuju untuk membina hotel, produk pelancongan baru seperti akuarium dan beberapa infrastruktur lain," katanya kepada pemberita di Seri Bendahara di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Ketua Pegawai Eksekutif Far East Consortium International Ltd., Tan Sri David Chiu. Sementara itu, Yen Yen berkata, Melaka mampu melaksanakan program Malaysia Rumah Keduaku kerana pembangunan pesat di negeri ini termasuk terdapat pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik minat pelancong dari luar untuk datang ke sini.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.