KOTA KINABALU 29 Sept. - Buat pertama kalinya bilangan pelancong ke Sabah mencatat peningkatan dua angka dan ia membuktikan Negeri Di Bawah Bayu itu terus menjadi destinasi tumpuan di negara ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kehadiran pelancong di Sabah mencatat peningkatan 12 peratus dalam tempoh tujuh bulan tahun ini. Katanya, peningkatan itu melibatkan pelancong dari negara serantau seperti China, Taiwan, Korea dan Australia, malah pelancong domestik dari Semenanjung juga semakin ramai berkunjung ke Sabah.
"Malah terdapat dalam satu bulan bilangan pelancong ke Sabah mencatat peningkatan 42 peratus. "Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat positif kepada industri pelancongan di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan laman web kumpulan pelancongan, Accor yang menawarkan 4,100 hotel di seluruh dunia dan 500,000 bilik penginapan di 90 negara. Hadir sama, Timbalan Presiden Accor, Gerard Guillouet dan Pengurus Besar Novotel Hotels Kota Kinabalu, Jacques Leizerovici.
Mengulas lanjut Masidi berkata, pelancong dari China mencatat bilangan paling tinggi ke Sabah iaitu 76,200 orang bagi tempoh tujuh bulan tahun ini. Menurutnya, kebanyakan pelancong dari China itu adalah dari Beijing dan Shanghai yang sememangnya terkenal dengan kumpulan elit dan berpendapatan tinggi. Sehubungan itu, katanya, kehadiran kumpulan pelancong dari China itu adalah sangat bermakna dalam menjana pendapatan rakyat di Sabah, sekali gus merancakkan perkembangan ekonomi negeri tersebut.
"Kementerian bukan mahu melihat peningkatan jumlah bilangan pelancong sahaja, tetapi keupayaan mereka untuk berbelanja di negeri ini sekali gus merancakkan perkembangan ekonomi negeri," katanya. Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga sedang mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat bagi membina sebuah pusat konvensyen di negeri ini.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.