Monday, 16 November 2026

Kempen “Jom Cuti Jom Jimat – Family Travel Sale 2026” Rancakkan Percutian Domestik Berorientasikan Keluarga

 

SELANGOR — Tourism Malaysia bersama-sama platform pelancongan dalam talian global Trip.com dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah menjalin kerjasama strategik melalui pelancaran kempen percutian Jom Cuti, Jom Jimat – Family Travel Sale 2026 sempena Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) dan Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 bagi merancakkan sektor pelancongan domestik di seluruh negara.

Kempen yang berlangsung dari 1 hingga 30 November 2026 ini bertujuan memberi galakan kepada pelawat domestik daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk meneroka destinasi dan tarikan di seluruh Malaysia, selain memupuk rasa bangga serta cinta akan keindahan khazanah warisan dan alam semula jadi negara menerusi aktiviti percutian berorientasikan keluarga.

Inisiatif ini selari dengan usaha Tourism Malaysia dalam memperkasakan pelancongan domestik dengan menggalakkan rakyat Malaysia bercuti di negara sendiri selain menyokong aktiviti ekonomi tempatan, seiring dengan iltizam Cuti-Cuti Malaysia. Selain itu, kempen tersebut juga mampu memberikan pendedahan mendalam tentang setiap tarikan di negara ini melalui kisah, sejarah dan warisan turun-temurun.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.