KUALA NERUS, 15 Disember – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,
Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Yang Berhormat
Datuk Razali bin Idris, hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Kalender Acara
Tahunan (Calendar of Events – COE) 2026 di Hotel Raia & Convention Centre,
di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Encik Hilman bin
Hajijan selaku penganjur utama turut hadir bagi menyokong dan menjayakan majlis
pelancaran tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri
Terengganu, YBhg. Dato’ Ab. Rasid bin Jusoh.
COE 2026 menghimpunkan sebanyak 113 aktiviti pelancongan dan
kebudayaan yang dirangka khusus sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM)
2026, sebagai usaha memperkukuh promosi dan penjenamaan pelancongan negeri di
peringkat nasional dan antarabangsa.
Daripada jumlah tersebut, 13 acara utama dan 100 acara pelancongan
serta kebudayaan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026, melibatkan penyertaan
semua daerah di Negeri Terengganu.
Penyusunan COE 2026 turut memberi penekanan kepada pengukuhan sektor
pelancongan sebagai pemangkin ekonomi setempat, di samping mengetengahkan
keunikan produk, budaya dan warisan negeri kepada pengunjung domestik dan
antarabangsa.
-Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.