Tuesday, 9 December 2025

Malaysia terima 28.2 juta pelawat asing dari Januari hingga Ogos

 

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada pada kemuncak momentum pelancongan apabila menerima 28.2 juta pelawat asing bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, peningkatan ketara 14.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus petanda jelas limpahan peluang ekonomi kepada pemain industri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). 

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Salinda Sany, berkata peningkatan pelawat tahun ini melepasi angka prapandemik, dengan pertumbuhan 16.42 peratus berbanding 2019, sekali gus menegaskan bahawa Malaysia kembali sebagai destinasi pilihan utama rantau ini. 

"Sektor pelancongan kini menjadi penyumbang utama ekonomi negara. Pelancongan menyumbang 15.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan hampir RM291 bilion, menjadikan RM1 daripada setiap RM6 dalam ekonomi negara datang daripada aktiviti berkaitan pelancongan. 

"Daripada jumlah keseluruhan, pelawat Singapura kekal penyumbang terbesar dengan 13.9 juta ketibaan, iaitu hampir lima daripada 10 pelancong asing yang memasuki negara ini. China pula mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 27.5 peratus, manakala India melonjak 22.5 peratus, menjadikan ketiga-tiga negara ini sumber pelancong paling pesat berkembang," katanya pada Persidangan Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank Stratum Focus Series ke-20, di sini, hari ini.

Sempena TMM2026, kerajaan menyasarkan kemasukan 40 juta pelancong asing dengan jangkaan pulangan RM216 bilion, selain 280 juta pelawat domestik. 

Ia adalah sasaran terbesar dalam sejarah penganjuran kempen Tahun Melawat Malaysia. 

Tourism Malaysia menjangkakan gelombang ini akan memberi impak langsung kepada peningkatan peluang komersial, termasuk pembukaan cawangan baharu, pembangunan produk pelancongan, dan pengukuhan perkhidmatan sokongan. 

Data Tourism Malaysia juga menunjukkan 63 peratus daripada kemasukan adalah pelancong berbanding pelawat harian, menandakan trend pelawat kini lebih cenderung tinggal lebih lama di Malaysia. 

"Pelancong bermalam menyumbang kepada perbelanjaan lebih tinggi yang menjadi faktor penting dalam merancakkan ekonomi tempatan. 

"Dalam konteks TMM2026, tumpuan turut diberikan kepada usaha meningkatkan purata tempoh tinggal serta mengubah pelawat singkat atau pelawat harian supaya menjadi pelancong sepenuhnya," kata Salinda. 

Ia digerakkan melalui usaha mengenal pasti produk pelancongan baharu, pakej unik, aktiviti malam, dan pengalaman mendalam bagi menggalakkan pelancong memanjangkan tempoh lawatan. 

Menyedari kepentingan capaian pelancong global, Tourism Malaysia menetapkan strategi promosi TMM2026 dengan komposisi 70 peratus digital dan 30 peratus tradisional. 

Pendekatan ini dijangka mewujudkan peluang luas kepada syarikat tempatan memanfaatkan pemasaran media sosial, kandungan digital, serta kerjasama dengan pencipta kandungan antarabangsa. 

Pendekatan digital yang lebih agresif ini dijangka mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan serba lengkap, khususnya untuk segmen pelancong muda, premium, mesra Muslim, perubatan dan kesihatan, kulinari, pendidikan serta pelancongan bercampur urusan kerja dan rekreasi yang kini semakin mendapat permintaan. 

Selari dengan strategi menarik pengunjung, TMM2026 turut menekankan peningkatan akses antarabangsa melalui tambahan kekerapan penerbangan dan kapasiti tempat duduk selain inisiatif seperti visa percuma untuk pelancong China dan India yang menyumbang kepada peningkatan mendadak pelancong dari kedua-dua negara itu. 

Jika momentum ini kekal stabil sehingga TMM2026, Malaysia berpotensi mengulangi kejayaan kempen TMM1990, TMM2007 dan TMM2014, sekali gus meletakkan negara dalam radar global sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.