Wednesday, 1 January 2025

Tahun Melawat Melaka 2024 tarik 15 juta pelancong, jana hasil RM12.68 bilion - Ab Rauf

 


MELAKA: Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berjaya merekodkan kehadiran 15 juta pelancong, menepati sasaran ditetapkan kerajaan negeri.


Serentak itu, Melaka turut berjaya menjana hasil keseluruhan RM12.68 bilion menerusi pelbagai aktiviti pelancongan sepanjang penganjuran TMM2024 sejak Januari tahun lalu.

Berikutan kejayaan berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata TMM akan diteruskan sehingga 2026 sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia yang bakal dianjurkan tahun depan.

Beliau berterima kasih dan menghargai kerjasama serta komitmen semua jabatan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO), pengamal media serta semua pihak yang menyumbang tenaga menjayakan TMM2024.

"Usaha ini selaras dengan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)," katanya pada majlis perasmian Ambang Tahun Baharu 2025 dan pelancaran WTD 2025 di Banda Hilir, di sini malam tadi.

Perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin serta EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

Yang hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar dan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.

Lebih 50,000 pengunjung membanjiri Banda Hilir bagi memeriahkan sambutan itu yang diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas kepercayaan kepada Melaka sebagai tuan rumah sempena WTD dan WTC 2025 pada September depan.

"Kalau dahulu, kita bergiat aktif mempromosikan Melaka sehingga ke luar negara, sekarang sebagai kota pelancongan terhebat, kita membawa dunia ke Melaka pula," katanya.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah WTD dan WTC 2025 mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) tahun lalu sepakat memilih Malaysia sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu tahun ini.

Acara berkenaan yang dijadual berlangsung pada 27 September depan bertemakan 'Tourism and Sustainable Transformation'.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.