Muhammad Sanusi (tengah) pada Majlis Sambutan Tahun Melawat Kedah 2025 di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
BUKIT KAYU HITAM: Kedah optimis untuk menarik kedatangan enam
juta pelancong ke negeri ini dengan menyediakan lebih 150 acara sempena Tahun
Melawat Kedah (TMK) 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata
pelancong Thailand dilihat mampu menjadi penyumbang terbesar berikutan
kedudukan negara itu yang berhampiran dengan Kedah.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama
dengan pihak berkuasa di wilayah selatan Thailand dalam pelbagai bidang
khususnya pelancongan.
"Insya-Allah, selepas ini kita akan tingkatkan lagi
program usaha sama khususnya dalam sektor industri makanan halal dan kita harap
industri pelancongan dapat digiatkan lagi antara dua negara ini.
"Pelancongan kini merupakan antara sektor yang paling
pesat berkembang, dan kita harap ini akan memperkukuhkan lagi hubungan antara
kedua-dua negara.
"Baru-baru ini juga, Gabenor Songkhla melawat Kedah dan
kita merancang untuk membalas kunjungan itu bagi membincangkan langkah
memajukan sektor pelancongan antara wilayah selatan Thailand dan utara
Semenanjung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sambutan
ketibaan pelancong sempena TMK 2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin
dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Selain itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya juga dengan
Tourism Malaysia mengeluarkan risalah atau senarai tempat menarik untuk
dilawati di Kedah dan diedarkan kepada pemain industri pelancongan di seluruh
negara.
"Kita juga buat kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk
mengadakan promosi di luar negara, saya harap 2025 ini akan menjadi titik mula
kepada kebanjiran pelancong untuk datang ke Kedah sama ada pelancong domestik
atau pelancong antarabangsa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.