Friday, 10 January 2025

'Jangan promosi hotel lima bintang tapi pengunjung dapat tiga bintang'

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing diiringi Timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga dari kiri) bersama rakan strategik industri pelancongan ketika majlis perasmian Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan (Wilayah Tengah) 2025 di Petaling Jaya. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Penggiat industri pelancongan disaran menaik taraf perkhidmatan sebagai persediaan menghadapi jumlah kemasukan pelancong yang tinggi.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata perkara itu turut merangkumi penarafan hotel yang sebenar.


"Apabila mempromosikan hotel, pihak berkaitan perlu menggunakan gambar sebenar. Jangan dalam gambar seperti lima bintang tetapi bila sampai ke hotel macam tiga bintang sahaja. "Kita tidak mahu pelancong berasa tertipu dengan apa yang ditawarkan dan ini penting bagi menjaga imej Malaysia kepada negara luar," katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis libat urus bersama penggiat industri pelancongan (Wilayah Tengah) di sini, hari ini.


Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P Manoharan.


Sesi libat urus itu bertujuan memberi gambaran menyeluruh mengenai kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan maklumat terkini mengenai insentif serta geran padanan ditawarkan oleh kementerian.


Ia seperti Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor (GSSP) dan Geran Sektor Penerbangan dan Carter (GSPC).


King Sing berkata, kerjasama antara MOTAC dengan 39 rakan strategik daripada persatuan pelancongan, perkhidmatan pengangkutan hingga media tempatan adalah bukti sinergi berharga membabitkan sektor awam dan swasta.


"Melalui inisiatif dan aktiviti bersama, kami berhasrat mempromosi kepelbagaian produk pelancongan Malaysia dan meletakkan negara ini sebagai destinasi pelancongan utama. "Kerjasama tidak eksklusif ini diharap akan membolehkan kami memanfaatkan kepakaran mereka untuk menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026)," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia menerima 22.5 juta ketibaan pelancong dari Januari hingga November 2024 dengan pertumbuhan 26 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.


Perangkaan 10 pasaran utama yang menyumbang kepada jumlah pelancong berkenaan adalah Singapura, Indonesia, China, Thailand, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia dan Taiwan.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.