PUTRAJAYA, 4
November 2023 - Tourism Malaysia melancarkan 11 Pakej Cuti-Cuti Keluarga dengan
kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA) di Ekspo
Kasih Madani yang berlangsung selama dua hari di Dataran Putrajaya bermula hari
ini sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023.
Sebanyak tujuh pengendali taman tema menawarkan tawaran pakej menarik kepada pelancong domestik bermula 4 November sehingga 30 November 2023.
Tawaran pakej adalah
serendah RM23 seorang untuk pembelian tiket masuk dengan tempahan minimum 10
orang sehingga ke Pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) bermula RM1,088 merangkumi 2
dewasa dan 2 kanak-kanak beserta bilik penginapan, sarapan pagi, tiga aktiviti
dan tiket masuk ke taman tema.
Tempoh sah pakej adalah sehingga 30 Jun 2024.
Antara pengendali taman tema yang mengambil bahagian termasuklah Sunway Lagoon (Camp Out!), SplashMania Water Park Gamuda Cove, THE TOP Penang Theme Park, Ripley’s Adventureland dan Jungle Gym Genting Highlands, Wet World Water Park Shah Alam dan Amverton Cove Golf & Island Resort.
Selain itu, orang
ramai juga berpeluang mendapatkan tawaran diskaun pakej pelancongan yang
ditawarkan oleh 86 pemilik produk pelancongan di laman web Go Tifi
(www.gotifi.com), iaitu satu platform sehenti untuk tempahan perjalanan
pelancongan secara dalam talian yang mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan
(AI).
Dato’ Dr. Ammar
Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, pelancaran Pakej
Cuti-Cuti Keluarga itu secara tidak langsung diharap dapat membantu fokus
kerajaan untuk memartabatkan institusi kekeluargaan sekali gus merancakkan lagi
industri pelancongan domestik.
“Tourism Malaysia
berharap setiap keluarga dapat mengambil peluang ini untuk bercuti di dalam
negara dan mencipta memori bersama insan tersayang menerusi tawaran eksklusif
Pakej Cuti-cuti Keluarga.
“Kita memahami
asas kesejahteraan bermula daripada ikatan kasih sayang erat yang dicurahkan
oleh ibu bapa sebagai tunjang kekuatan dan nilai murni ini dapat dipupuk serta
dimanifestasikan dengan meluangkan lebih masa menerusi percutian bersama
keluarga,” katanya.
Bertemakan
“Keluarga Harmoni, Negara Madani”, Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan
2023 dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Maklumat lanjut
berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan juga boleh diperoleh dengan melayari
laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.