BANDARAYA MELAKA 11 November
– Penganjuran Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 antara platform
terbaik dalam memperhebatkan lagi promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, menerusi platform disediakan JCCM 2023 orang ramai berpeluang meninjau pelbagai pakej pelancongan domestik menarik terutamanya yang ditawarkan di Melaka.
“Saya amat berbangga kerana
Tourism Melaka dan Tourism Malaysia bekerjasama dalam mempromosikan TMM2024
dengan menggerakkan TIC Mobile Tourism Melaka ke lokasi penganjuran program
JCCM 2023.
“Malah pemilihan Melaka
sebagai antara lokasi JCCM 2023 juga membantu Kerajaan Negeri dalam
mempromosikan TMM2024, begitu juga beberapa negeri lain seperti Perak, Perlis
dan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian
ketika berucap merasmikan JCCM) 2023 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga
Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar
dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Saari Basiron, di
sebuah pusat beli-belah di Taman Lagenda, di sini, semalam.
Zaidi yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, dengan tawaran diskaun antara 15 hingga
20 peratus ia secara tidak langsung dapat menarik minat rakyat Malaysia untuk
merancang percutian di dalam negara.
“Selain itu penggiat
pelancongan tempatan juga diminta untuk mengambil bahagian dalam penganjuran
JCCM 2023 kerana ini adalah platform terbaik bagi mempromosikan pakej
pelancongan domestik,” katanya.
Sementara itu, Dr. Ammar
berkata, Melaka adalah sebuah negeri yang agresif dan sentiasa memikirkan untuk
mengeluarkan produk pelancongan baharu termasuklah mempromosikan pulau-pulau di
perairan Selat Melaka.
“Dengan adanya produk
baharu ini kita harap TMM2024 akan mencapai matlamat dan penganjuran ini
menjadi batu loncatan bagi mencapai kunjungan seramai 18.7 juta pelancong ke
Melaka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.