ISKANDAR PUTERI: Tahun 2026 diumumkan sebagai
Tahun Melawat Johor dengan menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong ke negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata,
matlamat itu akan dijayakan dengan pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk
penambahbaikan infrastruktur pelancongan, penganjuran acara bertaraf
antarabangsa, pemasaran dan promosi Majestic Johor serta pengenalan destinasi
pelancongan mampan.
“Johor bertuah kerana memiliki alam semula
jadi yang indah dan menarik serta
bangunan warisan bersejarah yang mampu menjadi tarikan pelancong dari seluruh
dunia. Sehubungan itu, dengan
sukacita saya mengumumkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor. Pelbagai
usaha akan dibuat dalam menarik pelancong
dari dalam dan luar negara.
“Sebagai makluman, Johor telah menerima
seramai 7.6 juta pelancong pada tahun 2019, iaitu sebelum pandemik Covid-19
melanda, manakala pada tahun ini, bilangan kemasukan pelancong diunjurkan mampu
mencapai lapan juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2024 di
Kota Iskandar, di sini hari ini.
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan
kerajaan Pusat, khususnya kementerian berkenaan dalam menjayakan beberapa
projek yang telah dirancang bagi tujuan berkenaan.
“Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta
agensi berkaitan lain telah memperuntukkan RM67.6 juta bagi melaksanakan beberapa projek.
“Antara projek itu termasuk menaik taraf jeti
utama dan Jambatan Sungai Ular
di Taman Negara Johor, Pulau Kukup dengan kos RM20 juta, menaik taraf kemudahan infrastruktur penginapan dan kompleks pelawat di
Taman Negara Johor, Endau-Rompin Peta dengan kos RM2 juta serta membina ruang
masuk dan menaik taraf laman ketibaan di Taman Negara Johor, Tanjung Piai
dengan kos RM1.2 juta,” katanya.
Onn Hafiz turut memberitahu, penganjuran acara
Festival Majestic Johor akan diteruskan dan ditambah baik selepas berjaya
menarik kehadiran pelancong domestik dan asing ke negeri ini sepanjang tempoh
penganjurannya.
“Festival Majestic Johor telah menerima anugerah ‘Gold Award Attractive State Tourism Event’. Oleh itu, RM1.7 juta diperuntukkan bagi meneruskan inisiatif ini.
“Selain itu, kita juga akan memperkasakan peranan Jawatankuasa Kumpulan Penyelarasan Destinasi Pelancongan Mampan sebagai program rintis yang akan dilaksanakan di daerah Mersing selari dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari,” tambahnya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.