Saturday, 25 February 2023

Tourism Malaysia Lancar Jerayawara Jom Cuti-cuti Malaysia 2023 Dan Pakej Khas “Staycation” Di Sabah Dan Labuan

 


PETALING JAYA, 25 Februari 2023 – Tourism Malaysia hari ini melancarkan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 yang bakal digerakkan ke lapan lokasi di seluruh negara pada tahun ini bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik sekali gus menggalakkan rakyat untuk merancang percutian di dalam negara serta membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan.

Program pameran dan jualan pakej pelancongan tersebut yang berlangsung di the Curve Mutiara Damansara dari 24 hingga 26 Februari ini, turut menyaksikan pelancaran Pakej Khas Penginapan Staycation #IsninKhamisJak Bagi Sabah & Labuan. Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang diwakili oleh Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Pakej khas tersebut bertujuan untuk membantu para pengusaha hotel dan resort di Sabah dan Labuan bagi meningkatkan purata kadar penghuniannya yang rendah pada hari Isnin hingga Khamis menerusi penawaran 16 pakej baharu melibatkan promosi “Beli 2 Malam Percuma 1 Malam” atau “Beli 1 Malam Dapat 1 Malam Pada Potongan 50%”.

Tawaran khas ini terbuka untuk pembelian oleh pelancong domestik dari 24 Februari hingga 15 April 2023 dan tempoh sah penginapan adalah sehingga 31 Disember 2023.

YB Tuan Khairul Firdaus berkata, sebanyak 30 penggiat industri terdiri daripada agensi pelancongan, hotel, produk pelancongan dan taman tema mengambil bahagian dalam www.tourism.gov.my siri jerayawara kali ini dengan penawaran lebih 100 pakej pelancongan pada harga diskaun antara 15 hingga 50 peratus.

“Selepas ini, program Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 akan diteruskan ke tujuh lagi lokasi di seluruh negara. Kita berharap dengan adanya program sebegini, ia akan dapat meningkatkan lagi daya saing industri pelancongan domestik,” katanya. Tujuh lokasi tersebut ialah AEON Mall Nilai (26-28 Mei 2023), 1 Utama Shopping Centre (9-11 Jun 2023), AEON Mall Kinta City (14-16 Julai 2023), AEON Mall Shah Alam, (25-27 Ogos 2023), Sunway Carnival Mall (29 September - 1 Oktober 2023), Sunway Pyramid (27-29 Oktober 2023) dan AEON Mall Bandaraya Melaka (10-12 November 2023).

Selain daripada pameran dan jualan pakej pelancongan, Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 turut menyajikan persembahan tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan dan makanan, pertunjukan teh tarik, kuiz pelancongan serta cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.