Friday 17 February 2023

Tourism Malaysia Jayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat & Gastronomi Di Langkawi

 


LANGKAWI, 15 Februari - Tourism Malaysia dengan kerjasama Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba Dan Selat Berhad (KOPTUBAS) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi aktiviti penanaman anak pokok bakau semalam.


Program yang turut dijayakan oleh penduduk tempatan itu antara lain bertujuan menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti setempat sekali gus menyantuni pemain industri pelancongan di Langkawi sewaktu pascapandemik bagi membantu mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia.


Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Encik Zakaria Mohd Nani berkata, serentak dengan penganjuran program tersebut, pihaknya juga mengadakan demonstrasi masakan tradisional menerusi penampilan istimewa Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi segmen gastronomi, Dato’ Chef Ismail Ahmad di Berjaya Langkawi Resort.


“Antara menu istimewa yang didemonstrasikan oleh Dato’ Chef Ismail pada kali ini ialah resepi tradisional iaitu ayam kalio Negeri Sembilan dan cucur bawang. Demontrasi masakan yang diketengahkan ini bertujuan menarik minat para pelancong serta memperkenalkan sajian istimewa ini khususnya kepada mereka yang menginap di resort mewah berkenaan,”katanya.


Berjaya Langkawi Resort dipilih kerana ia menjadi lokasi pilihan pelancongan antarabangsa yang berinspirasikan keunikan alam semula jadi serta telah merangkul beberapa anugerah bertaraf antarabangsa.


Selain itu, Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi juga telah menjayakan program seminar dan International Tourist Guide Day Eco Walk di Zero Km Kuah.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.