Sunday, 26 February 2023

Larian Santai Dan Majlis Pelancaran Lagu Kempen “Inilah Masanya, Cuti-cuti Malaysia”

 


PUTRAJAYA, 26 Februari – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini terus dimeriahkan dengan acara larian santai dan pelancaran lagu kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” anjuran Tourism Malaysia menerusi kerjasama dengan Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWM).

Seramai 5,302 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam larian 7 kilometer menggunakan laluan Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Car-Free Morning) bagi kategori individu dan keluarga. Pelepasan para peserta telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Haji Mahadi bin Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Hajah Saraya binti Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta YBhg. Dato’ Haji Zainuddin bin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

YB Dato Sri Tiong King Sing berkata, tagline “Inilah Masanya” memanifestasikan satu seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik agar terus berdaya tahan tatkala berdepan krisis pandemik COVID-19.

“Selain berlari santai sambil menghirup udara segar, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong menerusi aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kebudayaan,” kata YB Dato Sri Tiong King Sing.

YB Dato Sri Tiong King Sing turut sama melancarkan lagu kempen “Inilah masanya, Cuti-Cuti Malaysia” yang berjudul “Masanya Telah Tiba”. Lagu ini didendangkan buat kali pertama secara langsung oleh penyanyi Nik Qistina, hasil gubahan komposer Ananth Kumar dan lirik oleh James Boyle.

Kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” memfokuskan kepada segmen keluarga dan millennials dengan mengetengahkan tema produk dan destinasi pelancongan berteraskan family fun, eko pelancongan dan kembara, pulau dan pantai, segmen beli[1]belah serta budaya dan warisan. “Melalui kempen ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia melakukan pergerakan melancong merentasi pelbagai negeri sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” jelas YB Dato Sri Tiong King Sing.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan juga diserikan dengan program Pameran Santai @ Kuala Lumpur ‘’Me & Mycity’’ di Dataran Merdeka yang menawarkan penjualan pakej pelancongan menarik. Antara pempamer yang menyertai astaka Tourism Malaysia kali ini ialah Menara Kuala Lumpur, Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), C’woks Design (Batik Tulis), Premiera Hotels & Resort dan Farhan Travel & Tours.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti demonstrasi batik dan terapi spa yang turut ditawarkan oleh penggiat industri.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.