KANGAR: Pesta Angin Timur 2023 yang merupakan aktiviti ikonik di negeri ini menyasarkan kehadiran lebih 500,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran bermula 3 sehingga 5 Mac ini.
Penganjuran pesta tersebut di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat dijangka lebih meriah selepas ditangguhkan secara fizikal sejak tahun 2020 berikutan pandemik Covid-19.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pesta itu sememangnya amat berpotensi dalam menarik kehadiran pelancong ke negeri ini dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti menarik.
“Kita sememangnya mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari seluruh negara termasuk dari negara jiran untuk memeriahkan lagi penganjuran pesta ini yang telah terhenti sejak beberapa tahun ekoran pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Terdapat pelbagai pengisian menarik disediakan antaranya seperti pertandingan sukan rakyat, kenduri rakyat, malam keindahan Islam, pameran agensi dan jualan kraf, sukan lasak bendang, larian angin timur dan pelbagai lagi.
Penganjuran Pesta Angin Timur juga bertujuan bagi mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa sebagai salah satu produk industri pelancongan negeri Perlis.
Pesta Angin Timur dianjurkan sejak 2011 dengan edisi pertama berlangsung di Kampung Banir, Tembus Simpang Empat dan setiap tahun program tahunan itu terus menarik perhatian orang ramai dengan ratusan ribu pengunjung dicatatkan.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, setakat ini, seramai 189 gerai jualan telah mengesahkan akan turut sama bagi memeriahkan pesta tersebut dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang hari penganjurannya nanti.
“Pesta ini akan dilaksanakan di kawasan seluas 12 hektar bagi memberikan kemudahan buat pengunjung yang hadir,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga dijangka ditingkatkan sewaktu penganjuran pesta itu bagi membantu menampung jumlah pengunjung ke utara tanah air.
Tambah beliau, pihaknya juga turut menyeru masyarakat berbilang kaum agar dapat mengambil peluang untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran pesta berkenaan kali ini.
“Kita berharap penganjuran Pesta Angin Timur 2023 kali ini akan mendapat penglibatan dari pelbagai kaum untuk menunjukkan kesatuan rakyat di negara ini,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.