17 Mei 2022 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan program Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 selama tiga (3) hari bermula pada 19 hingga 21 Mei 2022 bertempat di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, Terengganu.
Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mendekatkan masyarakat umum khususnya Keluarga Malaysia yang berada di Negeri Terengganu dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta membuka ruang kembali untuk menjana ekonomi negara bagi para penggiat industri yang berada di negeri itu.
Ini merupakan penganjuran kali pertama di negeri pantai timur, khususnya di negeri Terengganu. Pemilihan negeri ini sebagai lokasi majlis ini juga mengambilkira populasi penduduk dominan yang meraikan acara ini selain dikelilingi lokasi-lokasi tarikan utama pelancong serta masyarakat di Terengganu yang kaya dengan aktiviti seni, budaya dan adat tradisional masyarakat tempatan, disamping itu juga dalam usaha untuk mempromosikan negeri Terengganu dalam aspek kebudayaan, kesenian dan pelancongan.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya Rewang Raya, Kenduri Rakyat, Pertandingan Lumba Perahu, Himpunan Keris, Gateh Busana, Kambing Cantik, Pertandingan Ayam Ratu, Zoo Kampung, Wau Gegok Damak, Tok Dekor Jangok, Tewah Ngail, Gasing Terbang, Bot Berhias dan persembahan kesenian.
Turut akan berlangsung ialah Bengkel dan Kelas Masakan Warisan, Demonstrasi Makanan Warisan, ceramah agama “Syawal Disambut Dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan” serta Pertandingan Memancing dengan tema memancing sambil mengenakan pemakaian kain pelikat dan semutar beramai-ramai.
Acara kemuncak bagi program ini ialah Majlis Perasmian yang akan disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri pada 20 Mei 2022 jam 9.00 malam.
Keluarga Malaysia yang lengkap vaksinasi dijemput hadir ke program ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
-MOTAC.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.