Monday 9 May 2022

LADA tawar insentif penerbangan catar

 


LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memperkenalkan insentif menerusi Program Penerbangan Catar Langkawi yang bernilai RM300,000 kepada 30 penerbangan antarabangsa terawal bagi meningkatkan kemasukan pelancong asing ke pulau ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, insentif itu akan diberikan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang memohon insentif tersebut sehingga Disember ini.

“Kita berharap insentif ini dapat memberi galakan kepada penerbangan catar untuk datang ke Langkawi sebab sebahagian kos pendaratan ditanggung oleh LADA.

“Kita juga tidak menyasarkan mana-mana negara untuk memohon kerana kita menggalakkan penerbangan antarabangsa terus ke Langkawi,” katanya di sini hari ini.

Nasaruddin memberitahu, LADA juga telah meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mewar-warkan insentif ini kepada syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa.

Jelasnya, usaha meningkatkan jaringan penerbangan terus ini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk masuk ke sini bagi memulihkan kembali sektor pelancongan Langkawi yang terjejas sewaktu pandemik Covid-19.

Menurutnya lagi, ada beberapa negara yang menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan penerbangan terus ke sini terutamanya negara di bawah Commonwealth of Independent States (CIS) dan negara-negara Scandinavia.

“Antara negara berkenaan adalah Rusia, Kazakhstan, Norway, Sweden dan Denmark,” ujarnya. 

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.