Friday 20 May 2022

Pendapatan industri pelancongan Langkawi dijangka cecah RM4.25 bilion tahun ini

 


LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjangkakan pendapatan industri pelancongan di pulau peranginan ini mencecah RM4.25 bilion juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, jumlah pendapatan tersebut dijangka diperoleh selepas jumlah kemasukan pelancong tempatan dan antarabangsa  meningkat susulan pembukaan semula sempadan negara.

Menurutnya, pulau ini telah mencatatkan kedatangan pelancong seramai 673,486 orang sejak Januari hingga April lalu.

Katanya, LADA juga  menyasarkan kemasukan pelancong sehingga 2.5 juta orang sepanjang tahun ini berbanding seramai 1.09 juta orang sahaja tahun lalu.

“Kita menjangkakan sebanyak 15 peratus pelancong yang datang ke Langkawi pada tahun ini terdiri daripada pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Langkawi Geopark 2022 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan LADA (KSKL) di Kompleks Pembangunan LADA di sini, hari ini.

Pada majlis itu,  Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah LADA, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah turut merasmikan majlis Ramah Mesra Aidilfitri Langkawi Geopark 2022.

Nasaruddin memberitahu, pihak LADA  menyertai Pavilion Malaysia di Arabian Travel Market (ATM) 2022 di Dubai pada 8 hingga 11 Mei lalu untuk menarik pelancong dari Asia Barat yang pernah menjadi antara 10 pasaran utama pelancong Langkawi.

Nasaruddin memberitahu, promosi pelancongan antarabangsa juga akan dilakukan di lokasi lain di luar negara seperti Jepun, Vietnam, London, Qatar, China, Singapura, dan Thailand.

Tambahnya, LADA juga akan melakukan promosi pelancongan domestik di lokasi yang mempunyai penerbangan terus ke sini.

“Promosi pelancongan domestik itu melibatkan enam lokasi iaitu Kota Bharu, Kuching, Ipoh, Johor Bahru, Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.